
Beliau berkata, kerajaan sebaliknya lebih fokus usaha meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Bagaimanapun, kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sama ada satu akta antidiskriminasi kaum akan digubal untuk membendung insiden perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu bersikap ekstremis, termasuk isu penjual jagung baru-baru ini.
Semalam, Guan Eng menggesa kerajaan menggubal akta itu susulan tindakan peniaga di Sepang yang enggan menjual jagung kepada pelanggan berketurunan India, serta menggunakan perkataan berunsur rasis.
Video memaparkan kejadian itu tular di media sosial, mengundang kemarahan rakyat pelbagai kaum.
Mengulas insiden itu, Aaron berkata kes tersebut telah selesai dengan bantuan kawasan rukun tetangga (KRT) dan polis, termasuk permohonan maaf.
“Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesai masalah,” katanya.