
Katanya, KKR perlu mendapatkan nasihat atau ulasan terperinci daripada Kementerian Kewangan (MOF) atau Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi mengesahkan kaedah perolehan terbaik.
“Secara umumnya, syarikat konsesi menyokong pelaksanaan MLFF di tol Malaysia. Namun, isu yang menjadi halangan dalam proses perundingan merangkumi isu penguatkuasaan, perundangan, komersial dan kewangan serta model perniagaan yang belum dimuktamadkan oleh pihak yang berkaitan,” menurut kenyataan Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin.
Di bawah sistem MLFF, semua pintu keluar dan masuk di lebuh raya akan ditukar menjadi lorong bebas halangan untuk mengurangkan kesesakan dan memudahkan aliran trafik. Sistem itu sebahagian daripada Rangka Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (2019-2023), yang direka untuk memodenkan prasarana lebuh raya negara.
Menurut laporan PAC yang diterbitkan hari ini, KKR menandatangani perjanjian pelantikan ‘central tolling company’ (CTC) dengan KJS-SEP Synergy JV berhubung pelaksanaan MLFF pada 17 Nov 2022.
Perjanjian ini sebagai pengesahan kepada KJS-SEP Synergy untuk meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi, katanya.
“Hasil libat urus secara umumnya didapati bahawa syarikat konsesi tidak bersedia untuk melaksanakan MLFF ini mengikut model yang dicadangkan oleh KJS-SEP Synergy,” tambahnya.
Antara cadangan yang tidak dipersetujui oleh syarikat konsesi tol adalah struktur tadbir urus, yang mana pihak KJS-SEP Synergy akan menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan, sedangkan hak untuk memungut tol adalah hak syarikat konsesi.
Selain itu, risiko kedudukan monopoli KJS-SEP Synergy, katanya.
“Pelaksanaan projek MLFF seharusnya diberikan kepada kelestarian dan kesejahteraan industri lebuh raya yang meliputi tiga aspek utama iaitu pengurusan risiko yang sistematik, keupayaan syarikat konsesi untuk membayar balik pinjaman dan aspek sosioekonomi,” tambahnya.
Menurut laporan PAC, persatuan konsesi mencadangkan tender terbuka bagi CTC melalui pelbagai penyedia perkhidmatan di serata dunia yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman membangunkan MLFF.
Ia juga mencadangkan ‘central tolling agency’ terdiri daripada konsortium syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sendiri; dan Jabatan Pengangkutan Jalan bertindak sebagai agensi yang melaksanakan tindakan penguatkuasaan di lebuh raya.
PAC antara syornya berkata KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia perlu melaksanakan kajian ‘cost-benefit analysis’ (analisis kos-faedah kewangan) yang lebih terperinci kerana pelaksanaan MLFF akan melibatkan anggaran kos RM3.46 bilion.
KKR juga perlu menetapkan atau memuktamadkan hala tuju sistem MLFF dengan segera selepas perjanjian pelantikan tamat, iaitu pada 16 Dis 2024.
Pada 14 Jan lalu, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berkaitan MLFF.
Nanta berkata, buat masa ini kementerian sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan ingin dipilih untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.