Sabitan, hukuman mati pembunuh Zulfarhan tak selamat, kata peguam

Sabitan, hukuman mati pembunuh Zulfarhan tak selamat, kata peguam

Hisyam Teh Poh Teik hujah Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-27, iaitu pemilik seterika.

Federal-court
Pendengaran di Mahkamah Persekutuan, diketuai Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Nordin Hassan dan Abdul Karim Abdul Jalil bersambung 28 Feb.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa sabitan serta hukuman mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain adalah tidak selamat dan seharusnya diketepikan.

Enam bekas pelajar tersebut terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Muhammad Najib dalam hujahnya berkata, keterangan terhadap perayu ketiga tiada kes prima facie bagi kesalahan bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, apatah lagi bagi kesalahan membunuh.

Katanya, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-27 (SP27) iaitu pemilik seterika.

“Tiada dalam mana-mana keterangan SP27 mengatakan dia melihat perayu ketiga menyeterika mangsa (Zulfarhan).

“Penemuan yang salah ini telah memprejudiskan anak guam saya. Ini kesilapan yang boleh dirayu,” katanya pada pendengaran rayuan enam pelajar itu terhadap sabitan dan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan.

Hisyam berkata, kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menganggap SP24 Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah, juga bekas pelajar UPNM sebagai saksi boleh dipercayai, namun mereka menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak melakukan penilaian maksimum terhadap keterangan pelajar tersebut.

“Jika berbuat demikian, Mahkamah Tinggi akan mendapati keterangan mereka tidak mempunyai kredibiliti. Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan serupa. SP24 ditahan dan direman 14 hari atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa dan beliau memberi keterangan terhadap tahanan lain untuk menyelamatkan diri,” katanya, memohon supaya anak guamnya dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Muhammad Akmal dan Muhammad Azamudin berhujah, pihak pendakwaan gagal memenuhi standard diperlukan untuk memastikan sabitan terhadap dua perayu itu bagi kesalahan membunuh.

Katanya, keterangan saksi pembelaan ke-19 (SD19) Dr Rohayu Shahar Adnan berhubung tahap kebarangkalian kematian akibat kecederaan melecur teruk atau punca alternatif kematian jelas menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Oleh itu, jika diambil secara kumulatif, keterangan pakar saksi pendakwaan keenam (SP6) Dr Salmah Arshad adalah tidak muktamad dan (keterangan) dikemukakan pihak pendakwaan tidak memenuhi unsur kesalahan membunuh.

“Pada keterangan dan laporan bedah siasat, SP6 merumuskan bahawa sebab kematian adalah disebabkan kecederaan melecur teruk,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Zamri Mohd Idrus mewakili Abdoul Hakeem berkata, mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat sindrom Steve Johnson, iaitu kematian disebabkan antibiotik diberikan doktor.

Pendengaran di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Nordin Hassan dan Abdul Karim Abdul Jalil bersambung pada 28 Feb.

Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.

Pada 2 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap kesemua enam pelajar itu, selepas mendapati mereka bersalah bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.

Bekas pelajar tersebut, kini berusia 29 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.