Kerjasama Petronas, Petros demi kepentingan negara, negeri, kata Abang Jo

Kerjasama Petronas, Petros demi kepentingan negara, negeri, kata Abang Jo

Bagaimanapun, premier Sarawak itu berkata kepentingan Sarawak akan tetap diutamakan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata kontrak sedia ada Petronas mestilah tidak menjejaskan peranan Petros sebagai agregator gas negeri itu.
PETALING JAYA:
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan bekerjasama bagi memastikan kepentingan negeri dan negara terus terpelihara, kata Premier Sarawak, Abang Johari Openg.

Namun, beliau menegaskan kepentingan Sarawak akan tetap diutamakan sepanjang kerjasama antara kedua-dua syarikat gas tersebut.

Abang Johari berkata perkara itu adalah antara persetujuan yang dicapai dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Petros akan menjadi agregator gas tunggal di Sarawak.

“Walaupun Petros mengambil peranan sebagai agregator gas, kontrak sedia ada yang dimeterai oleh Petronas dan anak syarikatnya tidak akan terjejas bagi membolehkan Petronas memenuhi obligasi kontraktual domestik dan antarabangsa mereka.

“Bagaimanapun, pelaksanaan kontrak sedia ada itu tidak boleh menjejaskan peranan Petros sebagai agregator gas serta tidak bercanggah dengan peruntukan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian utama termasuk saling menghormati undang-undang persekutuan dan negeri, seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan DGO 2016, serta permintaan untuk eksplorasi luar pesisir bagi memenuhi jaminan jumlah gas seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

Abang Johari juga menegaskan bahawa Sarawak komited untuk menggunakan sumber lestari gas bagi menyokong pertumbuhan industri, keperluan tenaga di Semenanjung Malaysia dan pengeluaran tenaga bersih, sejajar dengan matlamat kerajaan persekutuan menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga bersih.

“Kerajaan Sarawak, demi kepentingan negara, komited memastikan jumlah gas yang dijamin serta apa-apa tambahan gas yang dihasilkan di luar pesisir barat Sarawak dan di kawasan lain di pelantar benua digunakan secara lestari,” katanya.

Semalam, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan dan Sarawak bersetuju membenarkan Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua obligasi kontrak sedia ada, baik di dalam mahupun luar negara.

Sebagai pencerahan berhubung pertikaian mengenai hak Sarawak untuk meneroka sumber minyak dan gas di negeri itu, Anwar memberitahu kedua-dua kerajaan mengiktiraf PDA sebagai akta persekutuan

Namun, bagi menyambut aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri itu, DGO akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.