
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata isu “ali baba” sentiasa dibangkitkan setiap Ramadan, tetapi tiada aduan diterima setakat ini.
“Sehingga kini, tiada pihak yang dikenakan tindakan berikutan kita tidak mempunyai bukti, walaupun ada yang mengatakan perbuatan itu berlaku.
“Sebagaimana tahun lepas ada yang tular mengatakan tapak bazar Ramadan disewa sehingga mencecah RM10,000. Namun, ia sekadar tular di media sosial dan kita tidak ada bukti untuk mengambil tindakan.
“Sekiranya kita mengesan perbuatan itu berlaku, tindakan tegas akan diambil, iaitu lesen niaga mereka akan ditarik dan nama peniaga berkenaan akan disenarai hitam untuk tahun depan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, pemeriksaan sentiasa dijalankan untuk mengelakkan keadaan itu berlaku.
Sebelum ini, kerajaan Kelantan menetapkan kadar sewa tapak bazar Ramadan di negeri itu bermula RM200 sehingga RM550.