‘Kebencian kaum, agama’ buat rakyat Malaysia Timur kesal jadi sebahagian Malaysia, dakwa Tangau

‘Kebencian kaum, agama’ buat rakyat Malaysia Timur kesal jadi sebahagian Malaysia, dakwa Tangau

Menurut Ahli Parlimen Tuaran ramai berkata bahawa Malaysia hari ini bukan Malaysia dipersetujui bawah MA63.

tangau
Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau berkata suara berbaur kebencian kaum dan agama ibarat menabur bibit perpecahan dalam masyarakat majmuk Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sentimen perkauman dan keagamaan yang semakin ekstrem dizahirkan di negara ini menyebabkan rakyat Malaysia Timur menyesali pembentukan Malaysia, dakwa Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau.

Bekas presiden Upko berkata, walaupun Jemaah Menteri menolak cadangan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam acara bukan Islam, pihak tertentu masih berusaha mendesak ia diteruskan.

“Suara-suara seperti ini ibarat menabur bibit-bibit perpecahan dan sengaja memanjangkan kekeliruan dalam masyarakat majmuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

“Malah suara kebencian berbaur agama seperti inilah yang menyebabkan rakyat Sabah dan Sarawak merasa kesal membentuk negara Persekutuan Malaysia.

“Ramai yang kata, Malaysia hari ini bukanlah Malaysia yang kita persetujui untuk bentuk bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).”

Sabah, yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara British, dibenarkan pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963, yang dianggap negeri itu sebagai hari kemerdekaannya. Sabah kemudian menyertai Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 Sep tahun sama.

Tangau berkata, garis panduan dicadangkan itu sepatutnya dibentangkan dan diluluskan Jemaah Menteri sebelum diumumkan, dan kegagalan berbuat demikian bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik.

Garis panduan dicadangkan itu menerima tentangan masyarakat sivil, pemimpin agama bukan Islam dan ahli politik, dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan ia tidak perlu dan hanya akan menimbulkan kegelisahan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut tidak bersetuju dengan cadangan itu, bertitah bahawa al-Quran dan Sunnah sudah menyediakan garis panduan terbaik untuk umat Islam.

Semalam, aktivis dan pengulas politik Sabah, Johan Ariffin Samad, berkata terdapat rasa tidak puas hati semakin menebal berhubung penglibatan kerajaan persekutuan dalam hal ehwal agama, memandangkan rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai ‘pendirian tegas’ tentang kebebasan beragama.

Katanya, ramai rakyat Malaysia Timur menganggap penglibatan kerajaan dalam hal ehwal agama melampaui batas, dan agama dijadikan senjata untuk kepentingan politik, menyimpang daripada nilai inklusif diajar di sekolah.

“Meraikan perayaan masing-masing, seperti Ramadan dan Krismas, memupuk perpaduan,” katanya dalam episod audio siar TheGoodCastShow.

“Tiada siapa yang mahu kerajaan seperti Taliban. Umat Islam moden seperti kita rasa terkongkong, dilayan seperti kanak-kanak walaupun sudah dewasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.