JPA tak keluar arahan tamat kontrak pegawai tiada SPM

JPA tak keluar arahan tamat kontrak pegawai tiada SPM

JPA tegas dakwaan Cuepacs mengenai penamatan kontrak 30,000 penjawat awam tanpa SPM tidak tepat.

penjawat awam
Menurut JPA, pelaksanaan SSPA menetapkan bahawa 14 skim perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan PMR atau PT3 dinaik taraf kepada kelayakan SPM. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan arahan menamatkan kontrak pegawai yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), secara besar-besaran.

JPA memaklumkan, pengurusan kontrak pegawai lantikan (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan dan persetujuan kedua-dua pihak.

“Kelulusan CoS bawah peruntukan OS29000 untuk 2024 bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM hanyalah 2,037 orang,” katanya dalam kenyataan.

“Sehingga 13 Feb lepas, 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).”

Daripada jumlah itu, katanya, 83 permohonan diluluskan manakala 25 tidak dapat dipertimbangkan kerana pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini yang didapati tidak teratur, sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu itu secara inklusif dan bertimbang rasa.

Menurut JPA, pelaksanaan SSPA menetapkan bahawa 14 skim perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dinaik taraf kepada kelayakan SPM.

“Namun, ini tidak bermakna pegawai awam yang sedang berkhidmat dengan kelayakan PMR atau PT3 perlu ditamatkan kontrak,” katanya.

“Keputusan ini juga bertepatan dengan perubahan sistem pendidikan negara, yang tidak lagi melaksanakan peperiksaan PMR dan PT3. Dengan pemansuhan PMR dan PT3, SPM kini menjadi taraf pendidikan terendah melayakkan seseorang untuk memasuki perkhidmatan awam.”

Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hingga 31 Dis 2024, seramai 302,284 individu telah memohon jawatan Pembantu Khidmat Am.

Daripada jumlah berkenaan, 186,010 calon memiliki kelayakan SPM.

JPA memaklumkan, dalam mempertimbangkan pelantikan baharu, kerajaan perlu memastikan keseimbangan antara memenuhi syarat kelayakan perkhidmatan dan memberi peluang kepada calon yang layak.

Oleh itu, JPA menegaskan dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai penamatan kontrak 30,000 kakitangan adalah tidak tepat.

Katanya, segala keputusan berkaitan pelantikan dan pengurusan kontrak dibuat dengan penuh pertimbangan berdasarkan keperluan perkhidmatan serta dasar kerajaan sedia ada.

“Kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan semua pihak, termasuk Cuepacs bagi mencari penyelesaian terbaik yang adil kepada semua pihak terlibat,” kataya.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan tenaga kerja dalam perkhidmatan awam diselaraskan dengan keperluan semasa, sambil memastikan kebajikan pegawai kontrak terus dijaga.”

Pada 13 Feb lepas, Presiden Cuepacs Adnan Mat meminta kerajaan mempertimbangkan keputusan tidak menyambung perkhidmatan 30,000 kakitangan kontrak yang tidak memiliki SPM.

Beliau juga dilaporkan berkata, keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan golongan itu dan tidak mengambil kira pengalaman selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak adalah suatu langkah tidak adil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.