Cukup hanya lindung pemberi maklumat, bukan pesalah, kata pakar

Cukup hanya lindung pemberi maklumat, bukan pesalah, kata pakar

Pakar bimbang salah guna kuasa mungkin berlaku dengan pesalah gunakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk dapat perlindungan pihak berkuasa.

Pakar cadang pemberi maklumat diberikan status ‘saksi pembantu’, di mana hukuman lebih ringan dikenakan bergantung kepada tahap kerjasama dan keberkesanan maklumat diberikan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 termasuk memberi perlindungan kepada individu terlibat kesalahan, namun mahu memberi maklumat dibimbangi mengundang salah guna kuasa, kata pakar.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata kerajaan seharusnya mewujudkan undang-undang melindungi pemberi maklumat dan bukan melindungi mereka yang melakukan kesalahan.

Shahul Hamid Abd Rahim
Shahul Hamid Abdul Rahim.

“Jika diluluskan pindaan itu, salah guna kuasa mungkin berlaku, pesalah akan gunakan pindaan ini untuk dapat perlindungan daripada pihak berkuasa.

“Saya rasa tak perlu pindaan. Cukup hanya melindungi pemberi maklumat dan bukan yang ambil rasuah, itu tak tepat,” katanya kepada FMT, mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang membincangkan pindaan akta itu.

Pada 16 Feb, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya aktif dalam libat urus dengan peguam negara bagi meminda undang-undang berusia 15 tahun itu, menyatakan ketika ini tiada perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat terlibat kesalahan, walaupun penglibatan mereka kecil.

P Sundramoorthy.
P Sundramoorthy.

Pakar jenayah dari Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), P Sundramoorthy, berkata kerajaan akan berdepan risiko jika ia diluluskan antaranya menggalakkan individu melakukan jenayah dan berpotensi menerima maklumat palsu.

“Rakyat juga akan rasa rasa tidak senang hati jika ia berlaku dan mungkin perspektif mereka terhadap sistem keadilan negara akan menurun,” katanya.

Pada masa sama, Sundramoorthy berkata cadangan itu mungkin juga akan memberikan kesan positif seperti meningkatkan kuasa pendakwaan dan mampu menumpaskan rangkaian rasuah.

Mohd Alif Jasni
Mohd Alif Jasni.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Alif Jasni, mencadangkan pemberi maklumat diberikan status ‘saksi pembantu’, di mana hukuman lebih ringan dikenakan bergantung kepada tahap kerjasama dan keberkesanan maklumat diberikan.

Katanya, sebuah badan khas perlu dibangunkan bagi menilai kesahihan maklumat supaya hanya individu yang menyumbang kepada kes berprofil tinggi atau rumit diberikan keistimewaan itu.

“Pendekatan ini dapat mengurangkan dilema etika dengan mengekalkan tanggungjawab individu terhadap kesalahan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.