Ahli Parlimen PAS bimbang 13 Mei berulang, tak sokong gubal akta anti diskriminasi kaum

Ahli Parlimen PAS bimbang 13 Mei berulang, tak sokong gubal akta anti diskriminasi kaum

Wakil rakyat Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mendakwa ia akan diguna sebagai 'pintu belakang' mansuh hak Bumiputera, sekali gus jejas keharmonian kaum.

Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Pengekalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mempersoal sama ada akta dicadangkan itu bertentangan dengan ‘kontrak sosial’ dan asas Perlembagaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen PAS menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan digubal akta anti diskriminasi kaum dengan memberi peringatan mampu meningkatkan ketegangan dan berkemungkinan berulangnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969.

Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) memberitahu Dewan Rakyat, akta sedemikian seperti “pintu belakang” untuk menghapuskan hak dan keistimewaan Bumiputera.

Katanya, ia akan mengganggu-gugat keharmonian kaum di Malaysia.

“Kita kena ingat ketegangan seperti ini bakal mencetuskan ketegangan kaum dan berulang peristiwa 13 Mei 1969,” katanya merujuk rusuhan kaum yang menyaksikan ratusan dipercayai terbunuh.

Marzuk juga mempersoalkan sama ada cadangan dikemukakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng bertentangan dengan “kontrak sosial” dan asas Perlembagaan Persekutuan.

“Hak keistemewaan Bumiputera yang dipersetujui dalam perjanjian kemerdekaan sebagai keseimbangan kepada pemberian kewarganegaraan kepada bukan Bumiputera,” katanya.

Kontrak sosial tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ia kerap digunakan ahli politik bagi menggambarkan rundingan dan keputusan dibuat antara Melayu dan masyarakat bukan Melayu sebelum kemerdekaan.

Sebelum itu, Lim ada mencadangkan penggubalan akta anti diskriminasi kaum susulan isu kaum melibatkan tokoh politik dan ekstremis, dengan menyebut insiden terbaru, melibatkan penjaja di Sepang.

Penjual jagung itu mencetuskan kontroversi apabila pamer papan tanda berunsur penghinaan kaum ke atas masyarakat India, yang menyatakan produk diniagakan tidak mahu dijual pada kaum India. Penjual berkenaan kemudian memohon maaf, namun ditahan polis.

Lim berkata, akta seperti itu diperlukan bagi menghalang “ahli politik ekstrem atau individu tidak bertanggungjawab” daripada melakukan ucapan kebencian dan tindakan provokatif, atau menyebarkan pembohongan ke atas masyarakat tertentu untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Awal hari ini, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menolak cadangan Lim, sambil menyatakan akta anti diskriminasi kaum tidak perlu, memandangkan undang-undang sedia ada mencukupi menangani kesalahan kaum dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.