
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Mokhtar Senik berkata semua ahli PAS diminta tidak mengikut ‘paluan gendang’ atau gesaan supaya jawatan presiden atau timbalan presiden yang ketika ini disandang Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man dipertandingkan.
Menurutnya, ada dua kemungkinan gesaan terbabit wujud iaitu dari pihak luar yang ingin melihat perubahan pimpinan dan Hadi direhatkan atas alasan kesihatan seperti pada 2015 apabila Ahli Parlimen Marang itu ditentang Ahmad Awang.

Dakwanya, ada juga kemungkinan yang gesaan itu membabitkan orang dalam PAS seperti berlaku semasa Aziz Bari menghentam dan menelanjangkan kelemahan Hadi dalam sebuah program terbuka supaya menjadi alasannya ditukar.
“Orang yang cuba mengganggu PAS tetap musuh PAS tidak mengira mereka orang luar atau dalam hatta bawah dagu kita sekali pun. Ingat siapa pun cuba menghuru-harakan PAS akan berkesudahan dengan laluan politik gelap dan akhirnya hilang dari radar.
“Tidak kira mereka ulama atau profesional. Sekali ahli PAS menolak kamu, maka sukar lagi untuk kamu beraksi dipentaskan ini kecuali terpaksa menari dipentaskan musuh dengan serba kehinaan dan kepincangan,” katanya di Facebook.
Beliau turut menggesa kepimpinan dua kepimpinan ulama iaitu merujuk Hadi dan Tuan Ibrahim terus dipertahankan.
Hari ini, FMT memetik sumber melaporkan pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden PAS mungkin dipertandingkan buat pertama kali dalam pemilihan dijangka September ini, selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2015.
Sumber memberitahu perkara itu mungkin berlaku jika Hadi yang menyandang jawatan presiden sejak 2002 mengundur diri seperti diminta segelintir ahli susulan keadaan kesihatannya.
Pada masa sama, ada ura-ura mendakwa Tuan Ibrahim juga mahu memberi laluan kepada pemimpin lain, namun wujud gesaan pro ulama memintanya kekal pertahan jawatan nombor dua parti dimenangi.