Sekolah perlu patuh garis panduan cuaca panas, kata timbalan menteri

Sekolah perlu patuh garis panduan cuaca panas, kata timbalan menteri

Sekolah perlu mengikuti perkembangan cuaca dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan sedia ada.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh menyantuni murid yang hadir pada hari pertama sesi persekolahan 2025-2026 di SJKC Chung Tack, Ipoh, Perak. (Gambar Bernama)
IPOH:
Pihak pengurusan dan pentadbir sekolah di seluruh negara perlu mematuhi garis panduan ditetapkan bagi menghadapi tempoh peralihan monsun dijangka bermula bulan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata garis panduan tersebut berdasarkan Garis Panduan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) Semasa Cuaca Panas bertarikh 28 April 2023.

“Ibu bapa juga digalakkan untuk membekalkan air minuman yang mencukupi kepada anak mereka dan pihak sekolah pula akan memastikan bekalan air minuman yang mencukupi untuk murid.

“Pada masa yang sama pihak KPM, JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di SJKC Chung Tack, Kampung Simee hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Safuan Raba’ai.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak serta Pahang dan Kelantan bermula bulan ini hingga Mei.

Hisham berkata negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac dan dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan akan berkurangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.