
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kes sedang berjalan ketika ini kerana masih dalam siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, yang memerlukan syor mengikut perintah tetap ketua polis negara.
“Maknanya, sistem dan proses yang ada sekarang memadai untuk mengelakkan kelambatan dalam membuat keputusan terhadap satu kes tatatertib.
“Sebelum saya masuk (menjadi menteri dalam negeri), ada kes yang sudah enam ke tujuh tahun tidak ada keputusan. Ada anggota polis yang sudah pencen, tetapi masih tertakluk kepada kes tatatertib,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung penambahbaikan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan langkah segera terhadap aduan melibatkan salah laku sesama anggota polis.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata setiap bulan beliau akan mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan membincangkan pemangkuan pangkat serta pengesahan pangkat.
Pihaknya juga membincangkan isu berhubung tatatertib.
“Untuk makluman sejak saya masuk ke sini (Kementerian Dalam Negeri), saya mewarisi timbunan kes-kes tatatertib yang tidak selesai. Sebab itu, bila saya masuk dan saya teliti, saya dapati masalah ini boleh diatasi segera.
“Jadi, kita tambahkan pegawai undang-undang di SPP, dan akhirnya sekarang, semua kes selesai,” katanya.