Sarawak iktiraf PDA, obligasi kontraktual sedia ada kekal, kata Anwar

Sarawak iktiraf PDA, obligasi kontraktual sedia ada kekal, kata Anwar

Perdana menteri berkata semua perjanjian domestik dan antarabangsa sedia ada Petronas kekal berkuatkuasa.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 akan berkuatkuasa pada 1 Mac ini dan dibaca sekali dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan persekutuan dan Sarawak bersetuju untuk membenarkan Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua perjanjian (obligasi kontraktual) sedia ada, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sebagai pencerahan berhubung pertikaian mengenai hak Sarawak untuk meneroka sumber minyak dan gas di negeri itu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat kedua-dua kerajaan mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai akta persekutuan.

Namun, kata Anwar, bagi menyambut aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri itu, Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac ini.

“DGO dibaca sekali dengan Akta PDA 1974 dan Petros akan berperanan sebagai agregator di Sarawak,” katanya yang merujuk kepada syarikat Petroleum Sarawak Bhd.

Semalam, Premier Sarawak Abang Johari Openg mengulangi pendirian negeri itu bahawa ia mempunyai kuasa kawal selia terhadap aktiviti minyak dan gas dalam wilayahnya.

Beliau mengulas mengulas jawapan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said di Parlimen awal bulan ini, bahawa Petronas dan anak syarikat tidak memerlukan lesen beroperasi di Sarawak.

Azalina berkata, syarikat itu tidak perlu mematuhi prosedur tambahan menjalankan operasinya melebihi apa ditetapkan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Katanya, persetujuan itu dicapai antara Abang Johari dan perdana menteri dalam pertemuan pada Januari.

Bagaimanapun, Abang Johari mempertikaikan kenyataan Azalina dan menegaskan bahawa Sarawak mempunyai hak penuh terhadap sumber gasnya berdasarkan undang-undang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sebarang aktiviti penggalian minyak dan gas di negeri itu perlu mendapat kelulusan kerajaan Sarawak.

Tahun lalu, Sarawak menuntut Petronas menandatangani perjanjian yang akan menjadikan Petroleum Sarawak Bhd sebagai satu-satunya agregator gas di negeri itu.

Abang Johari juga menegaskan bahawa Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 masih sah dan berkuat kuasa, dan mana-mana entiti yang menjalankan penerokaan serta pengeluaran sumber di negeri itu perlu mematuhinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.