Pemuda DAP bahagian mahu tindakan tegas selepas Steven Sim diganggu

Pemuda DAP bahagian mahu tindakan tegas selepas Steven Sim diganggu

Pemuda DAP Batu Kawan dan Bukit Mertajam membidas pembantu berkenaan atas kelakuan yang disifatkan sebagai biadab dan tidak wajar.

steven
Seorang lelaki dikatakan mendekati Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim dan memarahinya hampir 10 saat, di satu majlis makan malam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua Pemuda DAP bahagian mahu tindakan diambil terhadap seorang pembantu kepada Pengerusi Lim Guan Eng kerana mengganggu Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, semalam.

Pemuda DAP Batu Kawan dan Bukit Mertajam dalam kenyataan berasingan membidas pembantu itu, yang dinamakan sebagai Tan Khong Chong, atas kelakuan yang disifatkan sebagai biadab dan tidak wajar.

Menurut Pemuda DAP Batu Kawan, perbuatan Tan mencemar imej parti dan menuntut tindakan disiplin yang segera dan tegas kerana melanggar etika parti.

“Kami tidak akan membenarkan sebarang bentuk keganasan, penghinaan, atau serangan terbuka yang bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti pengerusi DAP Pulau Pinang.

“Kami menuntut agar semua ahli parti menghormati dan menjaga disiplin serta etika dalam setiap tindakan mereka.”

Pemuda DAP Bukit Mertajam pula berkata sebarang ketidakpuasan hati harus diluahkan melalui saluran yang betul, dan bukannya dengan ‘tingkah laku tidak wajar’ di khalayak ramai.

Mereka juga berkata ahli yang mencabar pengerusi secara terbuka pada dasarnya mencabar keseluruhan DAP, sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kami menggesa parti menyiasat perkara itu. Kami akan menghantar surat kepada jawatankuasa negeri bagi menuntut siasatan.”

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi berkata DAP tidak boleh menjadi platform untuk mana-mana individu atau kumpulan mencipta budaya politik toksik.

Ketua DAP Happy Valley, Ganeson Ramasamy, dalam kenyataan yang dikatakan mewakili penyokong dan ahli dalam kalangan masyarakat India berkata kepimpinan negeri perlu dihormati dan bukan dipermainkan melalui drama politik murahan yang merugikan parti.

“Kami ingin bertanya secara terbuka kepada pihak yang terlibat dalam insiden ini: Adakah ini budaya politik yang ingin kalian wariskan dalam DAP?” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pembantu berkenaan melemparkan kata-kata kasar terhadap Sim dan menggelarnya pengkhianat.

Saksi berkata, kejadian berlaku ketika Sim bersalaman dengan penyokong pada majlis makan malam itu.

Lelaki terbabit mendekati Sim dan memarahinya hampir 10 saat, selain menuduhnya cuba menjatuhkan Guan Eng.

FMT sedang mendapatkan komen Tan dan Sim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.