‘Daulah terpendam’ dikuasai ‘pihak luar’ cuba singkir LGE, dakwa kumpulan

‘Daulah terpendam’ dikuasai ‘pihak luar’ cuba singkir LGE, dakwa kumpulan

Seorang pemimpin akar umbi di Pulau Pinang kata terdapat usaha untuk memastikan Lim Guan Eng gagal pada pemilihan DAP akan datang.

Beberapa individu dalam DAP yang cuba singkir Lim Guan Eng dipengaruhi pihak tertentu, menurut S Neelamekan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketika kempen pemilihan DAP semakin rancak, sekumpulan ahli veteran mendakwa wujudnya suatu “daulah terpendam” dalam kepimpinan parti itu, yang mahu melemahkan pengaruh Pengerusi Lim Guan Eng dan pasukannya.

Menurut mereka, langkah itu mengimbau kempen ‘Kick out Kit Siang’ (KOKS) pada penghujung 90-an, yang menyaksikan suatu kumpulan di Pulau Pinang cuba singkir Lim Kit Siang daripada kepimpinan DAP negeri berikutan prestasi buruk DAP pada PRU 1995.

Pemimpin akar umbi, S Neelamekan, ketua cabang Lunas yang menjadi ahli sejak 1986, berkata beberapa pemimpin yang berusaha untuk menyingkir Guan Eng nampaknya tersimpang daripada perjuangan asal DAP dan dipengaruhi oleh ‘pihak luar’.

Neelamekan berkata ‘daulah terpendam’ wujud dalam DAP kerana terdapat gerakan tersusun untuk memalukan Guan Eng, iaitu dengan memujuk perwakilan supaya tidak memilih beliau untuk jawatankuasa eksekutif pusat atau mengurangkan undi untuknya secara drastik.

S Neelamekan
S Neelamekan.

“Adakah seseorang mahu mendaki tangga politik dengan lebih pantas? Adakah seorang pemimpin cuba menyenangkan hati perdana menteri bagi menjamin kedudukan dengan melemahkan pemimpin DAP tertentu agar kerajaan tidak dipantau?

“Terdapat cakap-cakap bahawa pemimpin muda menggunakan politik wang untuk melemahkan pemimpin senior. Persoalannya, dari mana pemimpin muda ini mendapat dana? Siapa yang menyokong mereka untuk melemahkan DAP dari dalam?” kata Neelamekan, yang mendakwa dirinya bercakap bagi pihak kumpulan veteran itu.

Beliau berkata kejadian di Pulau Pinang baru-baru ini ketika acara memperingati jasa Kit Siang kepada DAP telah menimbulkan cakap-cakap bahawa terdapat perselisihan terbuka dalam DAP, antara kumpulan Guan Eng dan pihak lain yang diketuai Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim.

“Pada majlis makan malam itu, satu kumpulan dilihat berkempen secara terbuka menentang Guan Eng. Ini mengakibatkan pertengkaran antara penyokong,” katanya.

Sementara itu, seorang sumber dalam DAP berkata langkah untuk menggulingkan Guan Eng ini juga bertujuan untuk menyenangkan hati pengundi Melayu, yang dikatakan menggemari pemimpin yang lebih sederhana dan boleh bertolak ansur untuk menerajui DAP, apabila berkempen pada PRU akan datang.

Menurutnya, seorang pemimpin senior DAP memberitahu Guan Eng bahawa masanya sebagai pemimpin sudah sampai ke penghujung kerana ada pihak mahu singkir beliau.

Neelamekan berkata DAP pada masa ini memerlukan gandingan Guan Eng, Setiausaha Agung Loke Siew Fook dan Naib Pengerusi Nga Kor Ming untuk membersihkan parti kerana ramai pemimpin muda cuba mengkhianati pemimpin yang membina DAP.

“Kita tidak boleh biar kuasa luar menguasai DAP. Jika kita membenarkan perkara ini, DAP akan kehilangan prinsip dan perjuangannya menegakkan keadilan.

“Jika ini berlaku, integriti parti dan kepercayaan rakyat yang menyokong DAP sejak berdekad lamanya akan hancur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.