Suspek kes bunuh wanita buat COD gadai barang kemas RM30,000

Suspek kes bunuh wanita buat COD gadai barang kemas RM30,000

Berdasarkan siasatan polis suspek lelaki berusia 53 tahun didakwa menggadaikan barang kemas itu di Terengganu.

Lokasi peniaga wanita dipercayai dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Sebahagian barang kemas milik peniaga wanita dipercayai dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, Khamis lalu digadai suspek.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan siasatan awal, suspek lelaki berusia 53 tahun didakwa menggadaikan barang kemas itu di Terengganu.

Katanya, setakat ini anggaran nilai barang kemas digadaikan berjumlah RM30,000.

“Keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat hentakan di bahagian kepala daripada objek keras atau tumpul dan lemas.

“Siasatan awal juga mendapati motif kejadian lebih kepada melakukan samun,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, polis menahan lelaki dipercayai membunuh peniaga wanita itu yang dikatakan ke lokasi berkenaan untuk menjalankan urus niaga secara hantaran (COD).

Suspek ditahan di sebuah rumah di Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu pada 5.30 pagi.

Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.