
Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di tempat kerjanya pada 10.30 pagi semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang lelaki telah mengunjungi kedai berkenaan untuk menggadai gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.
“Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Perintah reman dikeluarkan pagi tadi oleh Mahkamah Majistret Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Wan Mohd Zahari turut mengesahkan motif pembunuhan peniaga wanita itu adalah samun.
Polis semalam dilaporkan telah menahan suspek kes berkenaan di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada 5.30 pagi.
Turut dirampas, sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.
Suspek berusia 53 tahun itu direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh Norshamira Zainal, 37, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.