Hari ke-3, stor simpanan bahan kitar semula disyaki haram masih terbakar

Hari ke-3, stor simpanan bahan kitar semula disyaki haram masih terbakar

Bomba guna teknik menimbus tanah demi cegah penghasilan gas hidrogen berbahaya jika guna air atau buih.

Ketua Balai Bomba Labis Muhammad Hafifie Md Sarif, berkata sebuah mesin pengorek dan dua jengkaut diguna menimbus sanga aluminium yang terbakar dengan tanah. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Bomba menggunakan teknik menimbus tanah bagi memadamkan kebakaran sebuah stor simpanan bahan kitar semula disyaki haram yang masuk hari ketiga, di Kampung Usaha Jaya, Labis, Segamat.

Ketua Balai Bomba Labis Muhammad Hafifie Md Sarif, berkata bahan terbakar seperti sanga aluminium di premis itu tidak boleh dipadamkan dengan air atau buih, dikhuatiri menyebabkan tindak balas kimia menghasilkan gas hidrogen berbahaya.

“Teknik menyelimut bahan yang sedang terbakar (dengan tanah) terpaksa dilakukan. Sebuah mesin pengorek dan dua jengkaut digunakan dalam operasi hari ini setelah ditangguhkan 7 malam semalam kerana ketiadaan tanah dan pasir,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 8 pagi Jumaat, 25 anggota bersama tiga jentera Balai Bomba Labis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Hafifie berkata, setibanya di lokasi, pasukannya mendapati kebakaran itu berskala besar melibatkan sanga aluminium di stor kilang dipercayai haram itu.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sudah meletakkan alat pengukur kualiti udara di Klinik Desa Sungai Karas yang terletak satu km dari lokasi kebakaran.

“Setakat ini normal dan bacaan kualiti udara di lokasi berhampiran juga sentiasa diambil anggota JAS Johor. Pemantauan terus dilakukan dan pemberitahuan akan dibuat dari semasa ke semsa berkaitan kualiti udara di kawasan sekitar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.