‘Bubar nanti, sudah sedia’, siap siaga PRU mengejut bukan gimik, kata Azmin

‘Bubar nanti, sudah sedia’, siap siaga PRU mengejut bukan gimik, kata Azmin

Setiausaha agung Bersatu berkata, arahan itu agar jentera Bersatu bersama PN sentiasa bersedia hadapi pilihan raya.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata, tidak salah meminta ahli partinya bersiap sedia agar mantap dalam menghadapi pilihan raya, walaupun belum diketahui tarikh sebenarnya.
PETALING JAYA:
Bersatu nafi cuba membuat gimik politik dengan mengarahkan jentera digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata, arahan itu lebih kepada mahu memastikan jentera Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, walaupun tiada siapa tahu tarikh sebenarnya.

“Ini bukan gimik tapi persiapan … ini betul-betul. Saya beritahu setiap ketua bahagian, dan rakyat siap sedia (untuk pilihan raya), ” katanya semasa sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran lagu, uniform rasmi dan khidmat guaman percuma Wanita Bersatu

“Salah ke saya gesa ahli buat persiapan? Tidak salah … saya nak Bersatu solid dan mantap. Bubar sahaja (Parlimen) nanti, kita sudah sedia.”

Sebelum ini, pemimpin PKR mendakwa Bersatu sengaja mencetuskan gimik pilihan raya mengejut untuk memberikan harapan palsu kepada penyokongnya bahawa PN masih relevan untuk menjadi kerajaan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, parti itu sedia berdepan PRU sebelum penggal kerajaan tamat pada 2027, namun tidak menjangkakannya seawal tahun ini.

Jumaat lepas, Azmin yang juga setiausaha agung PN berkata, pada mesyuarat pimpinan parti, Presiden Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.

Sementara itu, mengulas persiapan PN menghadapi PRN Sabah yang dijangka tahun ini, Azmin berkata , gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh menerima ideologi perjuangan mereka.

“PN akan berbincang dengan semua pihak yang bersedia untuk bekerjasama dengan PN dan sentiasa ambil sikap terbuka,” katanya.

“Mana-mana individu, parti, pertubuhan yang terima konsep, gagasan serta ideologi perjuangan PN, ayuh kita bersama dalam PRN Sabah.”

Prosiding pengurusan lapangan terbang awam

Pada sidang media sama, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, pihaknya akan memulakan prosiding siasatan pengurusan lapangan terbang awam dan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya, prosiding PAC yang akan bermula esok akan memanggil pegawai Kementerian Kewangan dan MAHB, diikuti Kementerian Pengangkutan, Khazanah Nasional Berhad, serta ketua pegawai eksekutif KWSP.

“Pengurusan lapangan terbang ini, isu besar dari segi kenaikan tiket, Aerotrain sampai hari ini tak selesai,” katanya.

“Prosiding akan dijalankan tempoh yang panjang sebab banyak pihak kita panggil, bukan hanya (berkenaan) isu penjualan saham semata-mata.”

Mas Ermieyati turut mengulangi pendirian sebelum ini bahawa PAC tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting, termasuk Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berhubung isu urus niaga saham MAHB oleh KWSP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.