Sarawak terbuka kongsi sumber O&G, kata Abang Jo

Sarawak terbuka kongsi sumber O&G, kata Abang Jo

Premier Sarawak menyeru kerjasama lebih besar antara syarikat negeri dan nasional, Petros dan Petronas.

abang johari openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu disambut pada perhimpunan agung parti, di Kuching, hari ini. (Gambar Ukas)
PETALING JAYA:
Sarawak terbuka berkongsi sumber minyak dan gas demi manfaat bersama, kata Premier Abang Johari Openg.

Pemerintah kerajaan negeri, Gabungan Parti Sarawak “bukan kedekut”, katanya. “Apa yang kita ada, kita boleh kongsi. Kita tidak boleh ‘makan seorang’,” katanya memetik Borneo Post.

Abang Johari menyeru kerjasama lebih besar antara syarikat minyak negeri dan nasional, Petros dan Petronas, bagi memastikan Sarawak kekal menjadi pemain utama dalam sektor tenaga.

Petros merupakan agregator tunggal gas di Sarawak.

Beliau turut memberi jaminan walaupun berdepan cabaran, Sarawak komited terhadap keadilan dan keterangkuman dalam sektor tenaga.

Sebelum ini, Sarawak menuntut lebih banyak hak daripada kerajaan persekutuan bagi rizab minyak dan gas berada dalam sempadannya dan berpendapat undang-undang negeri mengawal eksploitasi rizab sumber berkenaan.

Kerajaan persekutuan berpandangan hak rizab minyak dan gas berada di bawah persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Ulasan Abang Johari timbul selepas beberapa hari di mana penyokong kerajaan berkata, rakyat Sarawak mahu penyelesaian adil dalam pertikaian itu.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, berkata Sarawak tidak menuntut keseluruhan pendapatan minyak dan gas, tetapi “penyelesaian menang-menang bagi kemakmuran bersama”.

Pada Januari, Anwar berkata isu melibatkan Petronas dan Petros berkait pengedaran gas di Sarawak telah diselesaikan susulan siri rundingan dan pertemuan dengan Abang Johari.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), berkata Sarawak telah menerima Akta Pembangunan Petroleum mengawal operasi sektor petroleum Malaysia, bukan ordinan negeri.

Azalina berkata, ia antara perkara utama dipersetujui Anwar dan Abang Johari ketika pertemuan pada 7 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.