
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, pertimbangan itu dibuat mengambil kira kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklum balas berhubung siasatan kes serangan asid terhadap pemain kebangsaan itu, yang telah menjangkau 10 bulan.
Katanya, kali terakhir kerajaan negeri menerima maklum balas berhubung kes itu adalah pada November lepas daripada Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan yang memaklumkan kes diambil alih pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Bukit Aman.
“Sejak itu, polis masih belum memberi maklum balas terkini perkembangan insiden malang yang menimpa Faisal Halim,” katanya kepada pemberita di Seksyen 7 hari ini.
“Kerajaan negeri tidak mahu membuat sebarang andaian dan pilihan terbaik yang boleh dibuat adalah melalui usul di sidang DUN Selangor.”
Beliau mengulas perkembangan siasatan kes tersebut susulan surat yang dihantar Speaker Lau Weng San kepada pihak berkuasa berkenaan selepas DUN Selangor meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap Faisal pada Julai tahun lepas.
Mohd Najwan berkata, cadangan untuk membangkitkan usul itu adalah bagi mendapatkan jawapan daripada polis berhubung perkembangan terkini siasatan kes yang mendapat perhatian umum itu.
“Saya percaya kes ini masih dalam siasatan, tetapi ia perlu dipercepat agar maklum balas terhadap pelbagai persoalan berkaitan kejadian menimpa Faisal dapat dirungkai,” katanya.
Pada 5 Mei tahun lepas, pemain Harimau Malaya berusia 27 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.