
Pengerusi Penduduk Membantah PJD Link (ScRAP) David Yoong berkata, kerajaan tidak boleh meluluskan penjajaran baharu dengan menggunakan kajian penilaian impak yang lama, kerana ia dilakukan pada 2021 dengan menggunakan jajaran lama.
“Kerajaan perlu arahkan pemaju untuk laksanakan kajian impak baharu, beri data terkini … itu yang patut dilakukan. Bukannya luluskan jajaran baharu tetapi guna kajian yang lama kerana jajaran itu sudah bertukar.
“Bila dah siap, pemaju dan kerajaan perlu babitkan penduduk semula untuk dapatkan pandangan,” katanya selepas perjumpaan wakil penduduk.
Beliau berkata, terdapat 30 komuniti penduduk di sekitar Petaling Jaya yang kini menolak projek itu, namun akan menyokong jajaran baharu sekiranya tidak melalui pusat bandar.
“Sekurang-kurangnya 300,000 penduduk akan terkesan jika aspek sosial dan kelestarian tidak diambil kira,” katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mendedahkan, agensi persekutuan telah meluluskan pelan jajaran baharu bagi cadangan pembinaan PJD Link daripada pemaju, pada sidang media di Parlimen 28 Nov lepas.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu dalam sesi taklimat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan, dan Komunikasi.
Tahun lepas, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri membuat keputusan membatalkan projek PJD Link selepas pemaju menghantar laporan penilaian impak, terutama laporan penilaian impak sosial, yang didapati tidak memuaskan dan tidak menepati syarat tertentu ditetapkan kerajaan negeri.
Pada April 17, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata, Putrajaya memutuskan membatalkan projek tersebut selepas pihak konsesi gagal menepati enam daripada 11 syarat ditetapkan kerajaan.
Sementara itu, pakar pengangkutan Rosli Azad Khan, yang menghadiri pertemuan wakil penduduk itu menyokong saranan ScRAP supaya kerajaan mempertimbangkan kajian impak baharu.
“Kerajaan perlu pertimbang segera perkara itu kerana bila ‘alignment’ dah bertukar, ia akan beri kesan kepada sosial penduduk dan alam sekitar,” katanya menambah, kajian lama sudah tidak lagi relevan jika kerajaan memutuskan jajaran baharu.
Beliau berkata, kerajaan perlu mencontohi bandar-bandar besar di dunia seperti Tokyo, Paris dan London yang tidak membina lebuh raya di tengah-tengah bandar yang sudah sesak.
“Jika anda benarkan perkara itu berlaku, anda telah pun merosakkan seluruh ekosistem dan kawasan sekelilingnya,” katanya.
“Prinsip utama dalam sistem penyuraian trafik adalah tiada siapa boleh bina lebuh raya di tengah-tengah bandar, tetapi kita pula mahu lakukan sebaliknya.
“Agensi dalam kerajaan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan perancang bandar seharusnya menasihati kerajaan dalam hal ini, kenapa tiada siapa lakukannya?”