
Tetapi, beliau mencadangkan kerajaan mendedahkan butiran perjanjian itu.
Dalam episod terbaharu audio siar ‘Keluar Sekejap’, Khairy berkata ada perbelanjaan tambahan perlu diambil kira, walaupun helikopter itu dibeli pada harga lebih rendah berbanding pajakan.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata Weststar sebaliknya akan menampung kos penyelenggaraan, pembelian alat ganti dan latihan juruterbang selama 15 tahun.
Menurutnya Weststar turut memberi jaminan 85% tahap kesiapsiagaan semua helikopter itu boleh berfungsi pada setiap masa yang disifatkannya “peratusan agak tinggi”.
Katanya kadar ketersediaan umum biasanya di bawah 60%.
“Jika Weststar gagal mengekalkan standard ini, mereka boleh didenda sehingga RM80,000 bagi setiap helikopter, mengikut amalan pajakan standard.”
Berbeza helikopter milik kerajaan yang selalunya tidak diinsuranskan bagi tujuan taktikal, Khairy berkata premium insurans helikopter Weststar ditanggung sepenuhnya syarikat itu.
Hos bersamanya, Shahril Hamdan turut menggesa ketelusan dalam proses pemerolehan dan butiran kos tambahan.
Menurutnya proses bidaan kompetitif atau permintaan untuk cadangan perlu dijelaskan.
Ketua pembangkang Hamzah Zainudin mengkritik keputusan kerajaan memajak 28 helikopter AgustaWestland 139 selama 15 tahun pada harga RM16.6 bilion atas alasan pembelian terus daripada pengeluar hanya menelan belanja RM3.954 bilion.
Khairy mencadangkan kerajaan membuat perbandingan harga memajak helikopter itu dari Weststar dan membelinya terus daripada pengeluar, Leonardo.
“Kita harap perkhidmatan tambahan yang datang daripada Weststar dalam perjanjian pajakan ini boleh dijelaskan lebih lanjut supaya rakyat faham dan (boleh) terima terma-terma yang dibuat kerajaan.”
Semalam, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dilaporkan berkata kerajaan memilih untuk memajak helikopter itu bagi mengoptimumkan perbelanjaannya dengan mengagihkan RM16.6 bilion lebih mampan dalam tempoh 15 tahun.