Kerajaan akan semak Sosma, kata Fahmi

Kerajaan akan semak Sosma, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata beberapa aspek undang-undang itu akan diteliti bagi penambahbaikan.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan beri pemakluman lebih lanjut berkait semakan itu.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru dibuat semakan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata beberapa aspek dalam akta itu akan diteliti bagi penambahbaikan.

Beliau juga berkata, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi kenyataan lebih lanjut di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Ditanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet berhubung apakah mendorong semakan itu, Fahmi berkata “kerajaan memang dari semasa ke semasa meneliti undang-undang sekiranya perlu atau boleh ditambah baik”.

Pada 12 Feb, lima bekas Ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa kerajaan memansuhkan Sosma, sambil menyatakan tiba masa bagi Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas layanan tahanan bawah Sosma.

Ong Kian Ming, Khalid Samad, Kasthuri Patto, Noor Amin Ahmad, dan Maria Chin Abdullah, berkata kerajaan harus menilai sama ada undang-undang itu perlu, sambil menambah terdapat terlalu banyak laporan dan bantahan daripada tahanan berhubung layanan buruk dan kelewatan berpanjangan bagi pendengaran mahkamah mereka.

Sosma berkuat kuasa pada 2012 di bawah pentadbiran Najib Razak selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Di bawah Sosma, pegawai polis boleh menangkap dan menahan individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.

Pada Isnin, kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Anwar campur tangan selepas Kementerian Dalam Negeri enggan menerima memorandum daripada ahli keluarga tahanan Sosma berkait tuntutan jawapan mengenai kesejahteraan tahanan.

Ahli keluarga berkenaan melakukan mogok lapar di pekarangan Penjara Sungai Buloh minggu lalu, bertindak berkumpul di bangunan kementerian itu bagi menuntut perbincangan dengan pegawai dan penyerahan memorandum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.