
Perdana menteri yang juga menteri kewangan berkata, pencapaian itu dipacu dasar jelas dan progresif diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka ekonomi Madani serta disokong kestabilan politik.
Menurutnya, kejayaan itu juga hasil usaha bersepadu kerajaan dan industri.
“Menjelang 2025, kerajaan kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.
Terdahulu, Bank Negara (BNM) hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 5.1% pada 2024 daripada 3.6% pada 2023.
Anwar berkata, kerajaan turut mengatasi sasaran defisit fiskal 4.1% tahun lalu berbanding sasaran 4.3%.
“Pertumbuhan ekonomi pada 2024 didorong prestasi memberangsangkan dalam penggunaan swasta yang meningkat 5.1% daripada 4.7% pada 2023; pelaburan meningkat 12% (2023: 5.5%); jumlah dagangan meningkat 9.2% kepada RM2.88 trilion dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion).”
Penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk inflasi sederhana kepada 1.8% (2023: 2.5%) dan kadar pengangguran rendah 3.3% (2023: 3.4%) dengan trend menurun kepada 3.1% pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun.
Kerajaan mengunjurkan ekonomi berkembang 4.5% hingga 5.5% tahun ini didorong limpahan lebih besar kitaran menaik teknologi, pelaksanaan lebih pantas projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan lebih rancak.
Katanya, menerusi Belanjawan 2025, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bertekad melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).
“Selain itu, perbelanjaan pengguna lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan penjawat awam dijangka terus merangsang pertumbuhan ekonomi.”