Inflasi keseluruhan dan teras turun ke 1.8% pada 2024

Inflasi keseluruhan dan teras turun ke 1.8% pada 2024

Inflasi dijangka kekal terkawal pada 2025 berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negara yang berlebihan.

BNM melaporkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi 2024 masing-masing turun kepada 1.8%.
PETALING JAYA:
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi 2024 masing-masing turun kepada 1.8% berbanding 2.5% dan 3.0% pada 2023.

Bank Negara (BNM) berkata inflasi keseluruhan bagi suku keempat 2024 juga reda sedikit kepada 1.8% peratus (suku ketiga 2024: 1.9%), lapor Bernama.

“Perkhidmatan komunikasi mudah alih dan petrol RON97 mencatatkan inflasi yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi dalam item berkaitan makanan lain, terutamanya sayur-sayuran segar serta ikan dan makanan laut,” katanya.

BNM melaporkan inflasi teras lebih rendah pada 1.7% (suku ketiga 2024: 1.9%), sebahagian besarnya didorong oleh pengurangan inflasi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih yang turun sebanyak 10.0% (suku ketiga 2024: 0.0%).

Rebakan inflasi kekal sederhana, katanya.

Bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan kekal di bawah purata jangka panjang pada 39.8% (suku ketiga 2024: 38.9%; suku keempat 2011-2019: 41.7%).

Inflasi dijangka kekal terkawal pada 2025 berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negara yang berlebihan.

“Walaupun pembaharuan dasar dalam negara yang diumumkan baru-baru ini akan menyumbang kepada sedikit tekanan menaik terhadap harga, kesan keseluruhan terhadap inflasi dijangka dapat dibendung,” katanya.

Bagaimanapun, risiko kenaikan harga boleh timbul daripada kesan limpahan yang lebih besar daripada dasar kepada harga IHP secara lebih meluas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.