
Ismail (BN-Bera) membangkitkan keperluan itu susulan gambaran tidak selari merujuk kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada 5 Feb lalu menyatakan kerajaan menoktahkan miskin tegar dengan signifikan terutama di Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berdasarkan e-Kasih, bank data kemiskinan nasional.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada negeri terbabit masih kekal sifar miskin tegar atau tidak lagi menerima bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ini kerana, katanya sehingga Ogos tahun lalu, JKM telah membantu 543,086 penerima dengan peruntukan RM1.73 bilion manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengagihkan zakat sebanyak RM22 juta kepada asnaf miskin dan fakir sebanyak RM18 juta.
“Gambaran ini jelas tidak selari seperti dinyatakan kerajaan kerana bantuan zakat kepada golongan miskin tegar masih diagihkan di Negeri Sembilan, jawapan menteri ekonomi itu turut menyatakan seramai 507 ketua isi rumah (KIR) di Kuala Lumpur dikategorikan miskin tegar.
“Bagaimana tiba-tiba angka miskin tegar di Kuala Lumpur begitu tinggi sedangkan sebelum ini dalam ucapan perdana menteri pada sambutan Tahun Baharu Cina, 15 Feb tahun lalu bahawa Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status sifar miskin tegar?” katanya membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau berpendapat perlu ada pendekatan jangka panjang bagi menoktahkan miskin tegar agar mereka tidak kembali ke kumpulan itu.
“Jika tiada perancangan teliti golongan miskin tegar dan miskin akan bertambah,” katanya yang turut bimbang kesan pengurangan subsidi dan gangguan perdagangan akibat ketegangan geopolitik terhadap usaha membasmi masalah terbabit.
“Sebagai contoh kenaikan tarif elektrik (walaupun untuk industri) dan pelaksanaan subsidi bersasar petrol pada pertengahan tahun ini akan memberikan kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah, menjadikan mereka terperangkap dalam kitaran kerentanan.
“Jadi saya ingin tahu dengan jelas apakah mekanisme kerajaan untuk menyasarkan subsidi petrol dan apakah ada subsidi-subsidi lain yang akan turut disasarkan?” katanya.
Gesa OIC anjur sidang tergempar isu Gaza
Sementara itu, Ismail turut menggesa Malaysia mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar untuk perbincangan mengenai isu mengambil alih Semenanjung Gaza.
“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana cadangan (Presiden Amerika Syarikat Donald Trump) bukan sahaja mencetuskan kemarahan global tetapi juga mengancam kestabilan geopolitik antarabangsa,” katanya.
Beliau turut gesa usul khas membincangkan isu Gaza dibentangkan di Dewan Rakyat.