
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata langkah itu juga dibuat bagi membantu pengilang dapat terus beroperasi dan mengelakkan mereka menutup kilang kerana terpaksa membeli beras padi harga mahal.
Beliau memberi contoh beberapa buah kilang antaranya di Arau, Perlis terpaksa ditutup kerana tidak dapat mengeluarkan beras untuk dijual pada harga RM2.60 sekilogram jika harga lantai lebih tinggi.
“Kalau kita naikkan harga padi sebegitu rupa (RM1,800 per metrik tan) bagaimana dengan kedudukan harga beras?
“Dengan harga sekarang pun untuk keluarkan beras padi harga RM2.60 sekilogram pun perlu campur tangan dengan beri subsidi, bagaimana kalau harga lebih mahal.
“Sebab itu kena lihat kepentingan semua pihak,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Bulan lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mengadakan perhimpunan di Putrajaya yang antara lain menggesa kerajaan menyelarasakan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik.
Tuntutan itu dibuat susulan peningkatan operasi untuk menanam padi seperti kos sewaan jentera.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata kementeriannya akan membuat penilaian secara berkala dalam menentukan harga padi dalam tempoh enam bulan selepas pelarasan itu termasuk mendapatkan maklum balas pesawah.
“Kita akan mendengar, ini harga (RM1,500) untuk enam bulan, ada enam bulan lagi untuk akan datang,” katanya.