Dakwaan sentimen positif kaum India ‘terlalu optimistik’, kata penganalisis

Dakwaan sentimen positif kaum India ‘terlalu optimistik’, kata penganalisis

Penganalisis berkata isu berlegar dihadapi masyarakat India bukan soal tiada keyakinan terhadap Anwar Ibrahim tetapi merasakan kurang diberi perhatian.

anwar ibrahim
Jumaat lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawat Batu Caves untuk meninjau persiapan sempena sambutan Thaipusam.
PETALING JAYA:
Dakwaan ada lonjakan sentimen positif masyarakat India terhadap kerajaan perpaduan susulan lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Batu Caves, Jumaat lalu, mungkin ‘terlalu optimistik dan awal’, kata penganalisis politik.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, isu berlegar dihadapi masyarakat India bukan soal tiada keyakinan terhadap Anwar tetapi merasakan kurang diberi perhatian terutama selepas MIC tidak diberi peranan dalam kerajaan ketika ini.

Mazlan Ali.

“Sungguhpun ada wakil India (daripada komponen lain) dalam Kabinet, namun pengundi komuniti India ‘tradisional’ masih menganggap MIC sebagai tulang belakang mereka sebagaimana kepentingan Umno dalam mewakili masyarakat Melayu.

“Apabila MIC kurang peranan, mereka melihat seolah-olah komuniti India dipinggirkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ketidakpuasan itu tidak wajar dipandang remeh dan boleh diselesaikan dengan perdana menteri serta kerajaan memberi perhatian sepatutnya kepada komuniti terbabit.

Kelmarin, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Manivanan Gowin, dilaporkan berkata kehadiran Anwar ke Batu Caves untuk meninjau persiapan Thaipusam telah menepis dakwaan kerajaan mengabaikan masyarakat India.

Beliau turut mendakwa sentimen kumpulan itu terhadap kerajaan turut melonjak kembali selepas lawatan terbabit.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, lonjakan sentimen positif itu hanya reaksi spontan terhadap kehadiran pemimpin tertinggi negara di acara penting masyarakat India.

Katanya, untuk memastikan sokongan ‘melonjak’ itu kerajaan dan pihak berkaitan perlu membuat tindakan susulan yang benar-benar menguntungkan komuniti India.

“Perlu ada komitmen berterusan dan bukan sekadar peristiwa bermusim,” katanya senada dengan Mazlan supaya peranan MIC dalam kerajaan diperkasakan atau strategi lain untuk memperjuangkan kepentingan kaum India dalam pentadbiran.

“Suatu dasar yang adil perlu dijamin bagi memastikan masyarakat India dapat merasai nikmat pembangunan yang ada adalah sebahagian daripada naratif pembangunan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.