Chatbot AI berisiko berat sebelah, jadi alat tapisan, kata wartawan

Chatbot AI berisiko berat sebelah, jadi alat tapisan, kata wartawan

Geramm berkata kewartawanan bebas masih menjadi benteng terbaik terhadap penyebaran berita palsu.

whatsapp
Chatbot AI Fact-Check Assistant (Aifa) yang baru dilancarkan bertujuan membantu orang ramai untuk mengesahkan dan mendapat maklumat tepat dengan pantas dan mudah dalam talian. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kecerdasan buatan (AI) boleh membantu dalam proses semakan fakta, namun ia bukan penyelesaian yang sepenuhnya berkesan, terutamanya dalam konteks politik, budaya, dan menangani berita palsu, kata seorang wartawan.

Mengulas pelancaran chatbot AI Fact-Check Assistant (Aifa), Radzi Razak dari Gerakan Media Merdeka (Geramm) memberi amaran terhadap kebergantungan berlebihan kepada AI, kerana penyebaran maklumat palsu sering berkait dengan politik, kurangnya literasi media, dan kurangnya kepada akses sumber yang boleh dipercayai.

Beliau berkata orang ramai cenderung mempercayai respons yang dijana AI tanpa melakukan pengesahan sendiri.

Memandangkan kerajaan sebelum ini menggunakan undang-undang untuk menutup kritikan, Radzi berkata chatbot AI yang dikawal kerajaan berpotensi diprogram untuk mengabaikan atau meremehkan isu tertentu, mengukuhkan naratif rasmi, atau bahkan melabel kritikan sah sebagai berita palsu.

“Media yang merdeka dan bebas masih merupakan benteng terbaik menentang maklumat salah, bukannya AI yang dikawal kerajaan,” katanya kepada FMT.

Menteri komunikasi Fahmi Fadzil berkata Aifa di aplikasi WhatsApp akan membantu mengekang penyebaran mesej yang tidak disahkan, sambil menambah “berita palsu tersebar lebih pantas daripada kelajuan internet Malaysia.”

Menurut Bernama, pengguna memuji chatbot itu atas kecekapan dan kepantasannya dalam mengesahkan maklumat dalam talian.

Pada 2024 sahaja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta 19,546 kandungan berita palsu diturunkan daripada platform dalam talian, dengan 17,245 daripadanya dipadam selepas pengesahan.

Sejak 2020 hingga 27 Jan tahun ini, sebanyak 25,114 berita palsu diturunkan.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Low Boon Tat mengakui manfaat AI dalam semakan fakta tetapi berkata ia boleh mewarisi kecenderungan berat sebelah daripada data yang digunakan untuk melatihnya.

“Chatbot dilatih menggunakan data yang mungkin sedia ada tidak konsisten atau berat sebelah, yang seterusnya akan membawa kepada penyebaran maklumat salah, bukannya membetulkannya,” katanya.

Tanpa kawal selia yang betul, Low berkata semakan fakta boleh menjadi alat penapisan maklumat dan bukannya pencarian kebenaran.

“Harus ada satu bentuk pemantauan bebas untuk memastikan ketelusan, seperti agensi yang benar-benar bebas daripada pengaruh kerajaan, atau gabungan ahli akademik, penjawat awam dan badan antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.