Aziz Isa tinggalkan DAP Sarawak, mohon sertai PBB

Aziz Isa tinggalkan DAP Sarawak, mohon sertai PBB

Ahli politik lantang itu berkata, PBB adalah satu-satunya parti yang sejajar dengan ‘konservatisme kewilayahan’ yang diperlukan Sarawak.

abdul aziz isa marindo
Abdul Aziz Isa Marindo berkata, beliau menyertai DAP pada Ogos 2013 didorong oleh ‘idealisme belia’.
PETALING JAYA:
Abdul Aziz Isa Marindo telah meninggalkan DAP Sarawak dan berhasrat menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tonggak Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.

Aziz, yang merupakan calon DAP di kerusi DUN Batu Kitang pada 2016 dan 2021 memberitahu FMT, beliau melepaskan keahlian partinya pada 28 Jan, selepas lebih 11 tahun bersama parti itu.

Dikenali lantang disebabkan ucapannya yang tegas dan bersemangat ketika kempen PRN 2016, keputusan ahli politik berusia 36 tahun itu untuk meninggalkan DAP itu susulan tempoh rehat tiga tahun daripada politik selepas kalah dalam pilihan raya pada 2021.

Beliau telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai PBB, yang diketuai oleh Abang Johari Openg.

Aziz berkata, beliau menyertai DAP pada Ogos 2013 didorong oleh ‘idealisme belia’, percaya bahawa sosialisme adalah antara isu utama menyelubungi negara, sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

“Selepas bertanding dua kali pada PRN Sarawak dan menghabiskan empat tahun lepas dalam sektor korporat, saya dapat pencerahan – penyelesaiannya bukan pada ideologi abstrak tetapi dalam tadbir urus pragmatik,” katanya.

Beliau berkata, dunia korporat mendedahkannya kepada realiti bagaimana pelaburan asing, perdagangan dan teknologi kewangan adalah antara pemacu kemajuan sebenar.

“Lebih banyak saya kaji dasar ekonomi yang berkembang pesat, lebih jelas bagi saya – konservatisme, bukan sosialisme, memberikan kestabilan dan kemakmuran yang diperlukan oleh Sarawak.

“Apabila saya pulang ke Kuching, saya saksikan transformasi yang luar biasa bawah kepimpinan Abang Johari – pembangunan infrastruktur yang ketara, inisiatif ekonomi digital, dan visi yang jelas untuk masa depan Sarawak.

“Ini sangat berbeza dengan retorik yang pernah saya percayai, dan saya terfikir sendiri, ‘Mengapa perlu pertikai kejayaan?'”

Bekas pembantu Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen itu berkata, PBB adalah satu-satunya parti yang sejajar dengan ‘konservatisme kewilayahan’ dan Sarawak harus melakar hala tujunya sendiri tanpa campur tangan persekutuan.

Beliau berkata, DAP ialah parti sosialis globalis, dan sering mengabaikan aspirasi rakyat Sarawak yang unik.

Pada 2016, Aziz tewas dalam perebutan kerusi DUN Batu Kitang kepada Lo Khere Chiang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang menang dengan majoriti 1,840 undi.

Lo sekali lagi menewaskan Aziz di kerusi DUN itu pada 2021, dengan majoriti lebih besar, iaitu 4,163 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.