Aktivis sambut baik keputusan pinda Akta Perhimpunan Aman

Aktivis sambut baik keputusan pinda Akta Perhimpunan Aman

Bekas pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata kerajaan mesti memastikan agensi penguatkuasa dimaklumkan dengan baik mengenai pindaan itu.

lawan rasuah
Peserta perhimpunan membawa sepanduk ketika menyertai satu himpunan antirasuah di Kuala Lumpur pada 25 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menyokong keputusan kerajaan untuk memansuhkan satu seksyen dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mewajibkan penganjur mendapatkan kebenaran pemilik atau penghuni premis sebelum mengadakan perhimpunan.

Bagaimanapun, bekas pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata kerajaan perlu memberikan arahan yang jelas kepada agensi penguatkuasaan mengenai pindaan terhadap Seksyen 11 akta itu.

“Pindaan ini sudah lama tertangguh,” katanya kepada FMT.

“Penting untuk memastikan bahawa dari peringkat tertinggi kerajaan hingga ke pejabat dan juga pengawal keselamatan untuk memahami pindaan ini.”

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran, turut menyambut baik langkah itu dan turut menggesa Seksyen 9(5) akta berkenaan juga dimansuhkan.

Seksyen itu menjadikan kegagalan penganjur memberikan notis lima hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan sebagai satu kesalahan jenayah.

Surendran berkata peruntukan ini menyukarkan penganjuran himpunan secara spontan, yang merupakan aspek penting dalam kebebasan bersuara dalam demokrasi.

“Kerajaan mesti memastikan polis membantu kelancaran perhimpunan awam, bukannya mewujudkan halangan yang tidak perlu,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan orang awam mengadakan perhimpunan, dengan pemansuhan Seksyen 11 menjadi antara perubahan utama.

Akta itu sering dikritik oleh NGO dan parti politik yang mahu menganjurkan perhimpunan serta demonstrasi.

Bulan lalu, kira-kira 200 peserta berarak dari kompleks membeli-belah Sogo ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bagi membantah amalan rasuah. Perhimpunan itu turut disertai anggota sayap Pemuda PAS, Bersatu dan PKR.

Penganjur pada mulanya berdepan pertikaian dengan polis mengenai keperluan mendapatkan kebenaran daripada Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan ruang awam sebagai lokasi perhimpunan.

Anwar kemudian berkata Himpunan Rakyat Benci Rasuah boleh diteruskan tanpa sebarang masalah kerana kerajaan telah memberikan kebenaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.