
Perbahasan berkenaan di Dewan Rakyat bermula selepas Chow Yu Hui (PH-Raub) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan garis panduan tersebut, dengan berhujah ia akan mendalamkan lagi jurang kaum dan agama di negara ini.
Garis panduan seumpama itu, kata Chow daripada DAP, juga bercanggah dengan prinsip toleransi dan harmoni yang sejak sekian lama dipertahankan rakyat Malaysia.
Namun, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mempertahankan keperluan garis panduan, sambil menyatakan ia perlu bagi menghalang orang Islam daripada terlibat dalam upacara yang boleh menjejaskan akidah.
“Memang garis panduan ini dah ada. Bukan baru. Ini untuk mengelakkan perkara boleh merosakkan akidah orang Islam menghadiri upacara keagamaan. Selain dari upacara keagamaan, tiada masalah.
Chow menjawab, rakyat Malaysia sudah sekian lama bertolak ansur dan kita saling hormat menghormati.
“Adakah kamu tahu MB Terengganu (Ahmad Samsuri Mokhtar) pun ada pergi ke perayaan Cina minggu lepas,” katanya sambil menambah sama ada pemimpin negeri itu memerlukan satu garis panduan.
Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS, menekankan garis panduan hanya tertakluk kepada upacara keagamaan.
“Sebab itu saya kata ini untuk upacara keagamaan. Ini Jakim yang keluar garis panduan.”
Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudian mencelah dan mempersoalkan keperluan bagi orang Islam mendapat kebenaran, sambil berhujah orang bukan Islam tidak pernah memaksa penyertaan orang Islam dalam upacara agama.
“Tak pernah menyuruh orang Islam melibatkan diri dalam upacara keagamaan. Orang bukan Islam langsung tidak benar dan sedar (sensitiviti orang Islam). Jadi, kenapa kena dapat ‘permission’. Merumitkan keadaan,” katanya dari DAP.
Kemudian bangun wakil DAP, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan bertanya Tuan Ibrahim: “Adakah Kubang Kerian lawan dengan Sultan Selangor?”
Khoo merujuk kenyataan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 8 Feb.
Sultan Sharafuddin bertitah tidak setuju dengan cadangan garis panduan kepada orang Islam menghadiri perayaan bukan Islam, pengebumian atau majlis bukan Islam di tempat ibadat mereka, dan berpandangan al-Quran dan Sunnah sudah menyediakan garis panduan terbaik untuk umat Islam.
Soalan dilontarkan Khoo menimbulkan reaksi ahli dewan, dengan beberapa Ahli Parlimen menjawab “Tak yah tak yah lah (tak payah, tak payah lah)”.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata garis panduan berkenaan tidak diperlukan kerana hanya akan mencetuskan kebimbangan.
Anwar juga berkata, beliau akan mempersembahkan keputusan Jemaah Menteri kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).