
Wong berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan membina kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang keadaan fizikalnya sama seperti bilik darjah biasa dan murid boleh belajar dalam suasana kondusif.
Menurutnya, kaedah itu yang dilaksanakan di beberapa sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya telah berjaya mengatasi masalah sekolah padat.

“Untuk tahun ini, projek pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kabin IBS akan membabitkan peruntukan RM100 juta.
“Pembinaan kabin antaranya akan dibina di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, SK Seksyen 19, SK Setia Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, SMK Seksyen 16 dan SMK Alam Megah,” katanya menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) di Dewan Rakyat.
Azli meminta KPM menyatakan langkah untuk memastikan pelajar mendapat suasana pembelajaran yang kondusif dan berkualiti dalam isu kepadatan sekolah.
Pada 9 Feb lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kerajaan komited membina sekolah baharu dalam usaha memenuhi keperluan dan menangani isu sekolah padat, terutamanya di kawasan bandar.
Menurutnya, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meluluskan pembinaan 44 sekolah, paling banyak dalam tempoh empat tahun terkini.
Sebelum ini wujud rungutan ibu bapa di laman sosial mendakwa jumlah murid darjah satu sehingga 50 orang dalam satu kelas di beberapa sekolah bandar.
Mereka bimbang terlalu ramai murid dalam kelas akan memberi kesan kepada sesi pembelajaran.