
Jamil Khir Baharom yang pernah menjadi menteri hal ehwal agama berkata, ini kerana derma tersebut bagi tujuan politik dan bukan untuk negara.
“(Najib) tidak beritahu kepada Kabinet,” katanya ketika disoal pendakwaan sama ada ‘derma’ tersebut ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, Umno Kedah diberitahu semasa mesyuarat lalu mengenai ‘sumbangan’ Najib kepada Umno negeri. Jamil yang juga bekas ketua Umno Kedah mendakwa dana Najib itu berasal dari Arab Saudi.
Bekas menteri itu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan Najib.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar kemudian menyoal Jamil sama ada beliau ada memeriksa jika dana itu benar berasal dari Arab Saudi.
Jamil memberitahu mahkamah: “Tiada keperluan buat begitu.”
Kamal: Adakah anda tahu berapa banyak Datuk Seri (Najib) terima daripada Raja Abdullah?
Jamil: Saya tidak tahu.
Saya ada ketika Najib bertemu Raja Abdullah, kata saksi
Jamil berkata, beliau antara seorang yang menghadiri mesyuarat Najib dengan Raja Abdullah, pada 11 Jan 2010, bersama bekas menteri luar, Anifah Aman, dan bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Al-Saggaf.
Jamil berkata, Najib memberitahunya bahawa Raja Abdullah ingin membuat sumbangan.
Kamal merujuk kepada saksi bahawa ketika perbicaraan SRC International dihadapi Najib, satu buletin memaparkan Jamil telah menghadiri perhimpunan Jabatan Perdana Menteri, pada hari sama.
“Adakan anda di sini atau di Arab Saudi? soal Kamal.
Jamil berkata, beliau menghadiri perhimpunan di Jabatan Perdana Menteri pada sebelah pagi, namun berlepas ke Arab Saudi tidak lama selepas itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan dana RM2.28 bilion, didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari dan Disember 2014.