Lebih 7,000 bunga kertas bernilai RM1.25 juta dirampas

Lebih 7,000 bunga kertas bernilai RM1.25 juta dirampas

Pokok bunga kertas itu dirampas dari sebuah lori yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Tanah Merah, Kelantan dipercayai diseludup masuk dari Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pokok bunga kertas itu dipercayai diseludup dari Thailand dan disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 7,000 pokok bunga kertas bernilai RM1.25 juta dipercayai diseludup masuk dari Thailand dalam satu sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan Isnin lalu.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pokok bunga itu dirampas selepas menahan sebuah lori di sekatan jalan raya berkenaan pada jam 6.40 petang.

“Pokok bunga kertas itu dipercayai diseludup dari Thailand dan tanaman itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Suspek lelaki yang juga pemandu lori berusia 59 tahun ditahan dan kes disiasat dibawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Dalam operasi berasingan, pihak berkuasa turut merampas 10 batang kayu balak pelbagai spesis selepas menahan sebuah lori di Kuala Jambu jam 2 pagi, Isnin.

Katanya, pemeriksaan mendapati kayu balak itu dibawa tanpa dokumen yang sah dan PGA turut menahan pemandu lori berusia 52 tahun.

“Anggaran nilai rampasan bernilai RM650,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Nik Ros berkata, susulan rampasa itu pihaknya menyerbu sebuah kilang kayu di Kampung Sebidang dan merampas 749 kayu yang sudah diproses dan sembilan batang kayu bulat pelbagai saiz.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen.

Menurutnya, pihaknya merampas semua kayu dan mesin memproses kayu yang semuanya bernilai hampir RM2.3 juta.

“Pemilik kilang yang juga lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor dan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tindakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.