KWSP tolak dakwaan berkait pelaburan MAHB

KWSP tolak dakwaan berkait pelaburan MAHB

Badan dana persaraan itu tolak berlaku salah laku dan kerugian dialami daripada penjualan sahamnya.

mahb malaysia airports
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan ke atas pelaburannya dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). (Gambar KLIA)
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menolak sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerugian dialami daripada penjualan itu.

Dalam kenyataan, KWSP berkata tuduhan berkenaan tidak berasas.

“Selaras dengan polisi ‘Chinese Wall’ KWSP, terdapat sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam dan pasukan yang mengendalikan pelaburan pasaran awam bagi memastikan tiada pertindihan maklumat di antara kedua-duanya.

“Pasukan pelaburan pasaran awam beroperasi secara bebas dan membuat keputusan dagangan hanya berdasarkan kepada maklumat yang tersedia secara umum,” katanya.

KWSP menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan terhadap pelaburannya dalam MAHB serta kekal komited terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.