
Loke berkata, industri pemeriksaan kenderaan kini terbuka kepada mana-mana syarikat, dan pasaran terbuka membenarkan firma lain memohon untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan.
“Sebelum ini, hanya satu syarikat (Puspakom) diberikan hak eksklusif bagi penyediaan khidmat itu, dan ada banyak aduan (berkenaan monopoli).
“Kita buka pasaran, memberi persaingan dan banyak pilihan kepada pengguna,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Exio Logistics Hub.
Loke juga menolak kritikan tiga firma tersebut “tidak berpengalaman”, sambil menyatakan tiada syarikat mempunyai pengalaman pemeriksaan kenderaan seperti Puspakom, yang sebelum ini menguasai penuh industri.
Beliau mengulangi tiga syarikat berkenaan bukan satu-satunya yang layak, malah pihak lain juga boleh memohon menyediakan perkhidmatan sama.
“Namakan saya satu syarikat yang ada pengalaman dalam industri pemeriksaan kenderaan? Memang tak ada… syarikat di Malaysia yang ada pengalaman kerana sebelum ini ia adalah monopoli.
Mengapa tak ada soalan kenapa dulu bila masa ditubuhkan Puspakom tak ada pengalaman?” katanya.
Putrajaya melantik Wawasan Bintang, Pakatan Petroleum, dan Beriman Gold menjalankan pemeriksaan kenderaan selain Puspakom.
Sebelum ini, bekas pemimpin Pemuda PAS mempersoalkan pemilihan satu daripada syarikat dilantik, dengan menyatakan syarikat itu hanya berusia lapan bulan dan tidak mempunyai pengalaman.
Kementerian kemudian menjelaskan berkata tempoh pendaftaran khusus dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bukan keperluan untuk lantikan.
Hari ini, mendakwa sesetengah pihak mempolitikkan isu berkenaan, dan bukannya menyokong usaha kerajaan memecahkan monopoli.
“Ada orang sengaja memutar belit fakta. Tiada kontrak diberikan (kepada tiga syarikat), tetapi mereka mendakwa wujud kronisme.
“Kalau anda tidak suka syarikat itu, jangan pergi lah. Jadi, jangan main politik sepanjang masa…kalau dulu masa monopoli langsung tak cakap pun,” tambahnya.