
Hakim Evrol Mariette Peters turut mengarahkan Thai membayar kos RM30,000 lagi kepada Tan.
Kedua-dua pembayaran mesti dibuat dalam tempoh 14 hari; jika gagal, Thai akan dipenjarakan sehingga beliau mematuhi perintah itu.
Ketika menyampaikan penghakiman ringkasnya pada Jumaat lepas, Peters berkata, Thai mempunyai masa hingga 31 Mac untuk mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan pada Januari 2024 itu untuk mengelak dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah.
Katanya, Tan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Thai sengaja enggan mematuhi perintah mahkamah, bukan disebabkan jahil, tidak upaya atau sebab-sebab luaran lain.
Perintah itu menyatakan bahawa Thai perlu memfailkan afidavit untuk mendedahkan aset dan akaun banknya di Malaysia dan luar negara.
Objektifnya adalah untuk melindungi aset sepencarian daripada dilenyapkan secara tidak wajar ketika prosiding perceraian.
Peters berkata, alasan Thai bahawa perintah itu tidak jelas tidak boleh dipertahankan.
Katanya, kegagalan Thai mendapatkan penjelasan daripada mahkamah, jika tidak jelas tentang kewajipannya, menunjukkan bahawa dia faham sepenuhnya terma-terma lain.
“Justeru, saya buat kesimpulan bahawa (Thai) dengan sengaja enggan mematuhi terma-terma perintah mahkamah,” katanya.
“Prosiding penghinaan (mahkamah) bukan tentang menghukum seseorang kerana gagal mematuhi perintah yang sama ada menguntungkan atau merugikan pihak lain.
“Sebaliknya, ia melibatkan tindakan yang mengganggu atau menjejaskan integriti dan kuasa sistem kehakiman itu sendiri. Prinsip penghinaan (mahkamah) terpakai sama rata bagi semua, tanpa mengira identiti atau kedudukan seseorang.”
Thai dan Tan – pengasas Supermax Corp Bhd – berkahwin pada Ogos 1987 dan mempunyai tiga anak.
Perkahwinan mereka bergolak selepas kedua-duanya saling menuduh.
Tan memfailkan pemisahan kehakiman pada April 2022, manakala Thai memfailkan petisyen perceraian pada April tahun lepas.