
Fadhlina yang diwakili Pegawai Khas Abu Seman Mat Karim hari ini menyampaikan sumbangan termasuk bakul makanan Rahmah, peralatan sekolah dan wang tunai kepada kanak-kanak perempuan itu, yang ditemani bapanya berusia 28 tahun serta neneknya.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin, Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis Ku Chik Ku Mat Esa, serta wakil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai.
Bercakap kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan itu di bilik sewa ibu bapa kanak-kanak itu di Jejawi, Arau, neneknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada cucunya.
“Buat masa ini, saya yang akan jaga mereka dua beradik (kanak-kanak itu dan adik perempuannya) di Jerlun, Kedah,” katanya, lapor Bernama.
Semalam, media melaporkan seorang pekerja kantin berusia 37 tahun direman enam hari untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas ditahan di bilik sewanya pada 10 Feb.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita menampar anaknya beberapa kali di koridor hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, sehingga kanak-kanak itu tersungkur dan terhantuk pada bucu bangku berhampiran.