Bunyi letupan, kepulan asap bongkar kegiatan lombong bitcoin haram

Bunyi letupan, kepulan asap bongkar kegiatan lombong bitcoin haram

Kebakaran berlaku di dalam sebuah bilik yang terdapat pendawaian diubah suai, mengakibatkan litar pintas, kata polis.

Polis menemukan mesin perlombongan bitcoin, kipas ‘blower’ dan penghala (router) di sebuah rumah di Bandar Puncak Alam semalam. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Bunyi letupan dan asap dari sebuah rumah di Bandar Puncak Alam membongkar kegiatan pemasangan mesin bitcoin secara salah di sebuah bilik di kediaman itu semalam.

Ketua Polis Sungai Buloh Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, Pusat Kawalan Daerah IPD Sungai Buloh menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyedari kejadian itu di rumah jirannya di Lorong Cekara Purnama pada 11.41 pagi.

Sebanyak 14 anggota daripada pasukan sukarelawan bomba Saujana Utama dan Bestari Jaya bersama dua jentera bomba dan sebuah Toyota Hilux dihantar ke lokasi dan kebakaran berjaya dipadamkan.

“Pihak bomba dan pasukan peronda polis yang hadir terpaksa memecah masuk rumah tersebut kerana tidak berpenghuni dan kebakaran berlaku di dalam sebuah bilik yang terdapat pendawaian diubah suai mengakibatkan litar pintas dan kebakaran.

“Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor telah ke lokasi pada 4.45 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati kediaman terbabit membuat penyambungan elektrik secara haram bagi tujuan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hafiz berkata, polis menemukan sembilan mesin perlombongan bitcoin, sembilan kipas ‘blower’ dan sebuah penghala (router).

Katanya, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Saya tegaskan bahawa kegiatan perlombongan bitcoin haram bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan masyarakat,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Mohamad Nurizwan Hafiz Abd Halim menerusi talian 017-2494940.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.