Tindakan Israel di Palestin ‘projek kolonisasi’, kata PM

Tindakan Israel di Palestin ‘projek kolonisasi’, kata PM

Anwar Ibrahim berkata rundingan tidak akan membawa hasil selagi Israel kekal jajah wilayah Palestin.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terhadap gerakan diplomatik dangkal yang gagal menangani punca utama konflik di Palestin. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian tegas Malaysia mengenai isu Palestin, mengutuk tindakan Israel sebagai satu “projek kolonisasi” atau “penjajahan”, dan mempersoalkan keabsahan rundingan selagi pendudukan berterusan.

Bercakap pada sidang media bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Anwar menekankan Malaysia akan meneruskan usaha menyokong Palestin, namun memberi amaran terhadap gerakan diplomatik dangkal yang gagal menangani punca utama konflik.

“Dan ini membawa kita kembali kepada isu utama Gaza dan Palestin. Kami akan terus berusaha, tetapi kami bukan sekadar mengikut arus. Anda dapat melihat tindakan berkecuali dan pelbagai persoalan yang timbul. Bagi saya, ini adalah satu projek kolonisasi,” katanya.

Beliau mengkritik keengganan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas, sambil menegaskan rundingan tidak akan membawa hasil, selagi Israel mengekalkan penjajahannya ke atas wilayah Palestin.

“Maksud saya, berapa banyak rundingan yang boleh dilakukan apabila penjajah belum berundur?” soalnya.

Anwar turut menekankan perampasan sistematik terhadap rakyat Palestin, sambil menegaskan bahawa isu itu bukan sekadar berkaitan politik semata-mata, tetapi juga hak pemilikan asas.

“Isu ini bukan hanya bersifat politik…ia juga berkaitan dengan tanah, rumah, dan harta benda. Terdapat dua perkara utama di sini. Pertama, bantuan kemanusiaan segera. Namun, kita juga perlu berusaha ke arah penyelesaian jangka panjang yang adil,” tambahnya.

Malaysia terus menjadi penyokong lantang hak rakyat Palestin dan bekerjasama dengan Turki serta rakan antarabangsa lain bagi menangani krisis itu.

Terdahulu, Erdogan menyaksikan pertukaran 11 memorandum persefahaman (MoU) antara Turki dan Malaysia yang merangkumi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan, dan kerjasama media.

Pemimpin Turki itu tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan rasmi dua hari atas undangan Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.