
Kumpulan antirasuah itu berkata, Putrajaya masih kurang melakukan reformasi institusi walaupun memberi penekanan terhadap tatakelola baik dan reformasi.
TI-M turut menyebut kegagalan seperti pembentangan rang undang-undang pembiayaan politik; perolehan awam; kebebasan maklumat; termasuk pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Katanya, terdapat juga bilangan lepas tanpa bebas (DNAA) yang tinggi diberikan dalam kes berprofil tinggi.
“(Ia) mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan,” katanya dalam kenyataan tanpa merujuk secara terperinci kes terkait.
Katanya, semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas sabitan oleh mahkamah atasan terhadap kes berprofil tinggi mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam bidang kehakiman.
Walaupun tidak menyebut kes dimaksudkan, difahami bahawa TI-M merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Hukuman 12 tahun penjara dalam sabitan kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta, oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari 2024.
TI-M berkata, kemungkinan faktor lain menjurus pengekalan kedudukan CPI adalah perniagaan masih merasakan masalah rasuah merupakan isu utama yang perlu dibendung dalam sektor awam, dengan tradisi meminta dan memberi rasuah masih berleluasa.
Katanya, tiada sebarang makluman perkembangan mengenai dua kes berkaitan ‘liabiliti korporat’ melibatkan Pristine Offshore Sdn Bhd dan Hydroshoppe Sdn Bhd.
Pada Mac 2021, Pristine Offshore menjadi pertubuhan komersial pertama dituduh rasuah. Syarikat itu didakwa memberi suapan bagi mendapatkan kontrak pajakan kapal bernilai RM321,350.
Pada Jun tahun lalu, Pengarah Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa kerana menawarkan rasuah tahunan sebanyak RM500,000 selama 15 tahun kepada bekas menteri, Annuar Musa, bagi mendapatkan konsesi Menara KL.
TI-M juga berkata, masih terdapat kes salah guna kuasa dan rasuah berterusan dilakukan penjawat awam, sebagai contoh penahanan pegawai kastam KLIA baru-baru ini akibat penyeludupan vape bernilai RM8 juta.
Pencapaian kerajaan perpaduan
Namun, kumpulan itu mengakui pencapaian ketara pentadbiran Anwar Ibrahim, termasuk pengenalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) pada Jun tahun lalu.
Mereka turut memuji langkah kerajaan memberi kuasa kepada ketua audit negara mengaudit syarikat, mana-mana badan lain, termasuk syarikat berdaftar bawah Akta Syarikat dalam penerimaan ‘jaminan kewangan’ yang diberikan persekutuan atau negeri. Ini termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, kerajaan perpaduan mesti mempercepat reformasi institusi bagi meningkatkan mata dan kedudukan dalam CPI seterusnya.
“TI-Malaysia ingin mengulangi bahawa kerajaan hendaklah mempertimbang dan memberi penekanan untuk menambahbaik ‘Integrity Pact’ selari piawaian antarabangsa dengan mewujudkan pengawasan bebas untuk projek mega bagi memastikan wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus,” katanya.