
Dalam kenyataan, kementerian berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perkara itu.
“MoF dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) bersama pihak industri automotif sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam dan neutral serta konsisten,” katanya.
Semakan semula duti eksais OMV itu sepatutnya dilaksana pada 2020, namun ditangguh beberapa kali dengan tarikh akhir Januari 2025 kini dibawa ke Januari 2026.
Terdahulu, dilaporkan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Shamsor Zain berkata pelaksanaan OMV diunjurkan hingga 20% menjelang 2026 dijangka mendorong peningkatan harga purata kereta pemasangan tempatan (CKD) antara 10 hingga 30%.
Susulan itu, Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin menggesa kerajaan mengkaji semula pelarasan duti eksais baharu itu kerana khuatir daya beli rakyat terjejas.
Katanya, ia mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat automotif tempatan, terutama bagi kenderaan CKD.
Naib Presiden MCA, Lawrence Low turut membuat seruan sama dengan mencadangkan kerajaan meletakkan tempoh lebih lama misalnya sehingga tiga ke lima tahun dari sekarang.