Curi beg tangan jenama, produk kecantikan, pasangan kekasih dipenjara 44 hari

Curi beg tangan jenama, produk kecantikan, pasangan kekasih dipenjara 44 hari

Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan Fatimah Tambi, masing-masing berusia 40 tahun turut didenda RM2,000.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Mahkamah Majistret Ayer Keroh memerintahkan hukuman dilaksanakan berasingan selepas kesalahan pertama ke atas kedua-dua tertuduh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sepasang kekasih dipenjara 44 hari dan denda RM2,000 masing-masing selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan mencuri beg tangan berjenama dan pelbagai produk kecantikan bulan lalu.

Berita Harian melaporkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan Fatimah Tambi, masing-masing berusia 40 tahun atas dua pertuduhan terbabit.

Bagi pertuduhan pertama, Amirul dan Fatimah didakwa bersama mencuri 10 barang daripada milikan seorang wanita 25 tahun di kedai Watson, Taman Seri Telok Mas, kira-kira 8.20 malam 12 Jan lalu.

Mereka turut didakwa mencuri beg tangan berjenama Bonia milik seorang wanita 63 tahun di sebuah butik di Mahkota Parade, Taman Melaka Raya, kira-kira 8 malam 30 Jan lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan didenda, manakala kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum penjara, boleh didenda atau sebat.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman penjara minimum ke atas pasangan itu dan berjalan serentak dari tarikh tangkapan atas alasan Amirul sudah berkahwin, mempunyai tiga anak dan tidak bekerja, manakala Fatimah pula ibu tunggal beranak lima.

Setiap tertuduh dihukum penjara 14 hari mulai 2 Feb lalu atas kesalahan mencuri produk kecantikan, manakala penjara sebulan dan denda RM2,000 seorang atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda bagi kes mencuri beg tangan berjenama.

Hukuman dilaksanakan berasingan selepas kesalahan pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.