‘Boleh kerja di Singapura, gaji besar’, exco bimbang pelajar Johor anggap SPM tak penting

‘Boleh kerja di Singapura, gaji besar’, exco bimbang pelajar Johor anggap SPM tak penting

Exco Aznan Tamin berkata ia menjadi cabaran bagi mengekang masalah keciciran pelajaran.

Exco Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin, berkata Singapura tidak memerlukan kelayakan SPM untuk ambil pelajar tempatan bekerja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah Singapura tidak mensyaratkan pengambilan pekerja tempatan perlu mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara faktor penyumbang ada pelajar Johor enggan menduduki peperiksaan itu.

Exco Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin, berkata kira-kira 900 calon SPM di negeri itu gagal menduduki peperiksaan utama berkenaan kerana beranggapan masih boleh mendapat pekerjaan di Singapura.

Katanya, tawaran gaji besar di negara itu susulan kadar mata wang tinggi menarik perhatian mereka, justeru menimbulkan kebimbangan kerajaan negeri masalah keciciran pelajaran akan berterusan.

“Dianggarkan 900 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun ini, walaupun jumlah itu menurun berbanding tahun lalu, ia masih membimbangkan.

“Cuma cabaran kita ini, Singapura tidak memerlukan kelayakan SPM untuk ambil pelajar-pelajar kita bekerja,” katanya menurut Berita Harian, di Johor Bahru.

Dilaporkan bulan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata sekitar 10,000 pelajar tidak hadir menduduki SPM.

Dalam pada itu, Aznan berkata, penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dilihat mampu menjadi penyelamat untuk memastikan pelajar keciciran ini menyambung pelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sebab itu JTDC adalah platform untuk membantu anak-anak ini. Walaupun tidak habis belajar, kita boleh hantar untuk menceburi bidang TVET dan kita ambil mereka bekerja dalam Johor.

“Oleh itu, tidak menduduki SPM bukan berakhirnya masa depan mereka, kita akan bantu masukkan mereka ke program-program TVET supaya mereka ini ada peluang dan ruang untuk terus ke hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.