Azri tak hormat raja dengan menyerang saya, kata KPN dalam pemfailan mahkamah

Azri tak hormat raja dengan menyerang saya, kata KPN dalam pemfailan mahkamah

Razarudin Husain berkata pembelaan justifikasi Wan Azri Wan Deris dan komen berpatutan dalam saman fitnah dikemuka tidak boleh dipertahan kerana berniat jahat.

raza Wan Azri Wan Deris papagomo
Ketua Polis Negara Razarudin Husain menuntut Wan Azri Wan Deris menarik kenyataan fitnah didakwa, dan memadam semua video, penerbitan, dan bahan mengandungi kandungan tersebut.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mendakwa serangan Wan Azri Wan Deris ditujukan kepadanya ketika menjalankan tugas rasmi, memaparkan rasa tidak hormat kepada raja.

Dalam jawapan difailkan menjawab pembelaan Azri, Razarudin berkata pangkatnya sebagai pegawai awam di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan beliau memegang jawatan itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Razarudin mengemukakan saman fitnah terhadap Azri atas kenyataan dibuat dalam video dimuat naik di YouTube dan TikTok, pada 26 Dis tahun lalu, dan dikongsi dalam pelbagai platform media sosial.

“Sebarang serangan tidak wajar terhadap plaintif (Razarudin) adalah tanda tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam pemfailan dikemukakan peguamcara K B Tan, Kumar and Partners, minggu lalu.

Beliau berkata, pembelaan Azri terhadap tuntutan mahkamah dibawanya tidak lebih penafian kosong dengan pembelaan justifikasi dan komen berpatutan tidak dapat dipertahankan memandangkan ia disulami niat jahat.

Razarudin berkata, kenyataan awam yang dibuat mengenai Azri berdasarkan siasatan polis.

Beliau menafikan kenyataan itu mencemarkan imej Azri, sambil mendakwa Azri sebenarnya tidak mempunyai reputasi baik.

“Dia (Azri) disiasat kerana menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Plaintif tidak mendakwa defendan seorang scammer mahupun membuat apa jua kenyataan berhubung perkara berkenaan,” tambah jawapan itu.

Razarudin berkata, sebagai agensi penguatkuasaan, polis hanya ditugaskan menjalankan penyiasatan. Sebarang keputusan sama ada melibatkan pendakwaan terpulang kepada pendakwaraya.

KPN juga menafikan menjadi ‘penjilat’ kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti didakwa Azri.

Beliau mengakui Azri berhak mengkritik kerajaan, namun kritikan mesti jujur, konstruktif, dan berniat baik.

“Plaintif (Razarudin) bukan ahli politik, tetapi penjawat awam atau pemegang jawatan awam yang tidak mempunyai kepentingan politik mahupun fahaman politik,” kata Razarudin dalam jawapan balas.

Azri, yang menafikan mencemarkan reputasi Razarudin, bergantung kepada pembelaan justifikasi dan komen berpatutan bagi menentang saman tersebut.

Dalam peryataan pembelaan difailkan bulan lalu, Azri berkata Razarudin, sebagai pegawai awam diamanahkan dengan menjaga keselamatan negara dan orang ramai, mesti terbuka untuk dikritik orang awam.

Katanya, sebagai pegawai awam, Razarudin sepatutnya bertanggungjawab dan telus, selain mempamerkan tadbir urus baik.

Dalam pernyataan tuntutan, Razarudin mendakwa Azri telah menggunakan istilah menghina untuk menggambarkannya dan telah mengaitkannya secara palsu dengan Anwar.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk, dan teladan serta injunksi menghalang Azri daripada membuat atau menerbitkan semula kenyataan sedemikian, sama ada sendiri atau melalui orang berkaitan dengannya.

Razarudin juga mahu Azri memohon maaf dan menarik semula kenyataan fitnah didakwa daripada semua akaun media sosial, termasuk media massa dan media dalam talian, di mana sahaja ia diterbitkan.

Mahkamah Tinggi bulan lalu mengeluarkan injunksi interlokutori memihak Razarudin dan memerintahkan Azri mengeluarkan beberapa hantaran didakwa berunsur fitnah mengenai KPN daripada media sosial, sementara menunggu keputusan saman itu.

Semalam, Razarudin mendapat perintah ex-parte terhadap Azri kerana menghina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.