Akar umbi mahu PH lawan Umno di Johor, kata pemimpin sayap PKR

Akar umbi mahu PH lawan Umno di Johor, kata pemimpin sayap PKR

Naib Ketua Pemuda PKR Johor Muhammad Faezuddin Mohd Puad bagaimanapun berkata kepimpinan negeri akan tunggu arahan dan keputusan pusat.

Naib Ketua Pemuda PKR Johor Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata pimpinan negeri pada dasarnya akur arahan pusat namun suara akar umbi ‘minta nak berlawan dengan Umno’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda PKR Johor memberitahu akar umbi mahukan parti itu lawan Umno pada pilihan raya akan datang, selepas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan negeri ketika ini.

Naib Ketua Pemuda PKR Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, berkata pimpinan negeri pada dasarnya akur dengan arahan pusat, namun suara akar umbi di Johor ‘minta nak berlawan dengan Umno’.

Katanya, walaupun di Melaka, Pulau Pinang dan di peringkat pusat PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersama, hakikatnya PH di Johor ibarat pembangkang.

“Di Johor, PKR, DAP dan Amanah mereka (kerajaan negeri) panggil kita pengimbang…hakikatnya kita di Johor sama macam pembangkang.

“Tiada jawatan dalam kerajaan negeri, pejabat daerah, GLC pun tiada tempat,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan yang mencabar PH bertanding di semua 56 DUN pada PRN akan datang.

“Kenyataan saya tak menjurus kepada nak berlawan dengan Umno pun, tapi sambutan akar umbi mereka minta kita (PH) lawan tapi apa pun kita tunggu arahan pusat,” kata Faezuddin.

Kenyataan Lassim menyusul selepas Faezuddin meminta Umno tidak mendominasi kerusi berpotensi dimenangi mereka, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi perlu mempraktikkan prinsip ‘menang-menang’ melibatkan PH dan BN.

Faezuddin berpandangan, kerajaan negeri diketuai Onn Hafiz Ghazi perlu membuktikan keikhlasan bekerjasama dengan menjemput pemimpin PH menyertai pentadbiran negeri di pelbagai peringkat, termasuk jawatan ketua kampung sebelum menuju PRN dan PRU.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata PH tidak berniat menagih sebarang kerusi, sebaliknya hanya menuntut keikhlasan BN seperti kerajaan campuran di Melaka yang dibentuk walaupun sebelum tertubuhnya kerajaan perpaduan.

Malah, beliau berkata kenyataannya hanyalah respons kepada Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azlen Ambros bahawa BN mempunyai peluang lebih baik untuk menawan kerusi tier 2 pada PRU akan datang jika berganding bahu dengan PH.

“Kalau Umno bagi alasan kita dah menang dulu sebelum tertubuhnya kerajaan pusat, saya boleh kata di Melaka, mereka menang lebih dahulu dari Johor.

“Tapi mereka sedia untuk bersama atas semangat perpaduan, kita bukan nak tagih jawatan cuma nak tengok sejauh mana keikhlasan Umno Johor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.