
Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin, berkata enam individu termasuk pegawai institusi kewangan berusia 26 hingga 55 tahun ditahan di Terengganu, Johor dan Selangor semalam.
Menurutnya, ia susulan laporan polis diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu pada 28 Jan lalu daripada seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga pengurus sebuah syarikat institusi kewangan.
Katanya, pengurus itu mendakwa institusi kewangannya ditipu dalam urusan pembiayaan pinjaman peribadi sehingga mengalami kerugian RM1.325 juta.
“Institusi kewangannya menerima permohonan pembiayaan daripada tujuh pelanggan antara Januari hingga April 2024 dan meluluskan permohonan pinjaman dengan jumlah sebanyak RM1.325 juta.
“Namun, selepas pembiayaan diluluskan, didapati semua suspek yang menyamar sebagai penjawat awam berkhidmat di Johor itu gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan.
“Hasil audit dalaman institusi kewangan terbabit mendapati semua suspek mengemukakan dokumen dan data dipalsukan bagi mendapatkan kelulusan pinjaman,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, seorang daripada suspek ditahan itu ialah pegawai institusi kewangan terbabit yang berusia 31 tahun, manakala baki peminjam ialah suri rumah dan peniaga.
Katanya, beberapa tangkapan akan dibuat lagi dalam kes itu serta rampasan ke atas duit atau aset diperoleh daripada kesalahan penipuan.
“Kita merampas 15 kad ATM dan enam telefon bimbit,” katanya sambil menambah semua suspek direman dua hingga empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.