
Siri serbuan itu dilakukan di Cheras dan Batu Caves, bermula 4 dan 9 Feb dengan tujuh individu termasuk seorang wanita diberkas.
Sindiket dipercayai menjadikan kondominium mewah bagi memastikan aktiviti tidak dikesan orang awam dan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata serbuan pertama menyaksikan dalang utama sindiket ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium di Taman Suntex, Cheras, sebelum dia menunjuki lokasi kediamannya.
“Hasil pemeriksaan di ruang tamu menemui 40 ketulan mampat disyaki heroin base dianggarkan seberat 9.85kg. Pasukan turut merampas pelbagai lagi dadah jenis heroin, syabu, serbuk mdma, ganja, pil yaba, cecair rokok elektronik (vape), pil ekstasi serta pil erimin 5 dengan berat keseluruhan dianggarkan 3.44kg.
“Penahanan suspek itu juga membawa kepada tangkapan empat lagi suspek termasuk seorang wanita yang berperanan sebagai ‘runner’ di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, operasi mengesan saki-baki sindiket itu sedang dijalankan dengan aktiviti mereka disyaki aktif sejak Oktober tahun lalu.
Upah RM10,000 sebulan
Bagi kes kedua, Khaw berkata, pasukan menjalankan serbuan di sebuah kondominium di Batu Caves membawa penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun di kawasan lif, semalam.
Katanya, pemeriksaan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) milik suspek menemui lima bungkusan masing-masing mempunyai 50 peket teh cina berisi dadah disyaki syabu. Manakala, pemeriksaan di bahagian but kereta menemui 32 lagi bungkusan berisi dadah disyaki ketamin.
“Pasukan kemudian menyerbu sebuah unit kondominium dengan berpandukan suspek dan menemui enam guni serta dua beg berisi 36 peket dadah disyaki syabu,” katanya semua rampasan itu dianggar 260.57kg bernilai RM11.43 juta.
Katanya, siasatan mendapati suspek aktif sejak November tahun lalu dan menerima upah RM10,000 sebulan bagi mengedarkan bahan terlarang itu ke pasaran sekitar Lembah Klang.
Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.